JBPM nafi 13 stadium tidak selamat

Mohammad Hamdan (dua kiri) mengiringi Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mantek yang menyampaikan replika kunci RIM dan Toyota Hilux kepada semua pengarah JBPM negeri pada majlis di Sepang hari ini.
Mohammad Hamdan (dua kiri) mengiringi Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mantek yang menyampaikan replika kunci RIM dan Toyota Hilux kepada semua pengarah JBPM negeri pada majlis di Sepang hari ini.
A
A
A

SEPANG - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menafikan mengeluarkan kenyataan bahawa 13 stadium utama di negara ini yang tiada Sijil Pematuhan Kod (CCC) atau turut dikenali sebagai Sijil Layak Menduduki (CF) adalah tidak selamat.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, pihaknya hanya dapat mengenal pasti status sesebuah bangunan itu sama ada selamat atau sebaliknya selepas membuat pemeriksaan.

Katanya, dalam kes 13 stadium terbabit, kesemuanya tidak pernah merujuk kepada pihak JBPM untuk mendapatkan CCC.

"Kita tidak pernah menyatakan 13 stadium utama itu adalah tidak selamat atau ia ibarat bom jangka.

"Kita hanya menyatakan bahawa daripada 21 buah stadium utama di negara ini, lapan stadium sudah mendapat kelulusan CCC manakala 13 stadium lagi tidak pernah merujuk kepada kita untuk dapatkan CCC. Jadi sama ada bangunan itu selamat atau tidak, kita pun tidak tahu," katanya.

Mohammad Hamdan ditemui pada Majlis Penyerahan 99 Unit Rapid Intervation Motorcycle (RIM) dan 50 kenderaan utiliti pikap Toyota Hilux kepada JBPM di Pusat Kejuruteraan Jentera JBPM di Salak Tinggi, Sepang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man kelmarin yang mempersoalkan kenapa baru sekarang bomba mengeluarkan kenyataan bahawa Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar adalah antara stadium yang tidak selamat untuk penonton kerana tidak mematuhi CCC.

Ia susulan pendedahan satu media tempatan yang melaporkan bahawa 13 daripada 21 stadium utama di seluruh negara belum tentu selamat digunakan berikutan dikenal pasti tidak mempunyai CCC atau CF sekali gus berisiko berlakunya kejadian tidak diingini.

Artikel Berkaitan:

Dalam laporan itu, keadaan berkenaan diibaratkan sebagai bom jangka jika pihak berkaitan tidak mengambil langkah proaktif dengan melakukan tindakan susulan termasuk membaik pulih atau menaik taraf venue berkenaan supaya mematuhi standard CCC yang ditetapkan.

Mengulas lanjut Mohammad Hamdan berkata, pegawainya yang ditemubual hanya menyebut bahawa 13 stadium itu beroperasi tanpa merujuk kepada agensi teknikal seperti JBPM.

"Cuma laporan itu mungkin diambil dari luar konteks hingga timbulnya isu bahawa bangunan-bangunan itu tidak selamat," katanya.

Bagaimanapun, Mohammad Hamdan menegaskan pihaknya selepas ini akan berbincang dan menyelaraskan dengan negeri-negeri yang stadium utamanya tidak pernah melalui proses CCC agar pihaknya dapat melihat status keselamatan bangunan tersebut.

"Kita juga mohon perbadanan stadium negeri untuk memastikan aspek keselamatan diambil perhatian yang tinggi. Mereka kena rujuk kepada JBPM supaya kita dapat jalankan pemeriksaan," katanya.