Pengantin baharu bulan madu dalam lokap

Ab Rashid (tengah) menunjukkan barangan yang dirampas.
Ab Rashid (tengah) menunjukkan barangan yang dirampas.
A
A
A

TUMPAT - Sepasang suami isteri yang baharu seminggu berkahwin berbulan madu di dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat setelah dicekup di Kampung Bunohan di sini pagi tadi.

Pasangan suami isteri berusia 40 dan 38 tahun itu yang berkahwin pada 12 September lalu ditahan pasukan narkotik IPD Tumpat pada jam 2.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintanden Ab Rashid Mat Daud berkata, mereka dicekup bersama dadah, ubat batuk dan air ketum dengan nilaian RM11,5000.

Ab Rashid berkata, siasatan awal turut mendapati lelaki berkenaan adalah pengedar dadah yang aktif sejak tiga bulan lalu di sekitar Tumpat dan Kota Bharu.

"Pasukan telah merampas 73 gram syabu, 16 botol ubat batuk, lima biji pil eramin 5 dan tiga botol ketum.

"Turut disita ialah Proton Waja yang dipercayai dibeli secara tunai," katanya pada sidang akhbar di IPD Tumpat hari ini.

Ab Rashid berkata, kedua-duanya direman tujuh hari bermula esok bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1957.

Katanya, tangkapan terhadap pasangan suami isteri tersebut berjaya dibuat berpandukan unit risikan dan juga maklumat daripada orang awam.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan kes berlainan, Ab Rashid turut memberitahu, pihaknya turut berjaya melumpuhkan jenayah pecah rumah dan curi kenderaan di daerah tersebut dengan penangkapan ketua kumpulan Geng Peli.

Tambahnya, ketua kumpulan yang dikenali sebagai Peli itu dicekup pada 14 September lalu di Kampung Baru Nelayan dekat sini.

"Penangkapan tersebut berjaya membawa kepada penahanan tiga lagi anggota kumpulan berkenaan," katanya.