Hospital, klinik di Kedah mula terima pesakit akibat jerebu

Dr Ismail (kiri) memeriksa bacaan IPU di Alor Setar hari ini.
A
A

ALOR SETAR - Hospital dan klinik di sekitar Kedah mula menerima pesakit yang mengalami masalah pernafasan seperti asma termasuk sakit mata disebabkan masalah jerebu yang mula melanda negeri ini.

Exco Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, beliau sudah dimaklumkan tentang perkara itu, namun jumlah sebenar pesakit yang mendapatkan rawatan akibat jerebu masih belum diketahui.

Menurutnya, rakyat diingatkan agar tidak mengambil mudah dengan keadaan jerebu yang sedang melanda di beberapa negeri termasuk Kedah dan mereka diminta mengurangkan aktiviti di luar selain minum air masak yang secukupnya.

"Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa tempat di negeri sudah berada pada paras yang tidak sihat dan pihak kami sedang memantau selain meminta rakyat untuk mengambil langkah berjaga-jaga.

"Orang ramai diminta untuk memuat turun aplikasi My IPU dalam memantau keadaan dan bacaan IPU jerebu dari semasa ke semasa. Jika keadaan bertambah teruk, sekolah di kawasan yang terjejas akan ditutup dan keputusan akan diputuskan oleh pihak berkaitan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sehingga jam 1 petang tadi, bacaan IPU di daerah Kulim mencatatkan bacaan pada tahap tidak sihat iaitu 189 manakala di Sungai Petani pula 121.

Dr Ismail berharap ibu bapa dapat mengawal pergerakan dan aktiviti anak-anak dengan tidak membiarkan mereka terdedah terlalu lama di luar.

"Orang ramai yang rasa tidak sihat disebabkan oleh kesan jerebu ini disarankan agar segera untuk mendapatkan rawatan dan pada waktu yang sama kami minta masyarakat jangan ambil mudah kesan jerebu ini," katanya.