'Syukur dibantu nelayan Indonesia'

Putih ditemani isterinya bersyukur ditemui selamat.
Putih ditemani isterinya bersyukur ditemui selamat.
A
A
A

MELAKA TENGAH - "Setiap kali turun ke laut, pak cik berdoa ALLAH SWT melindungi kami dan syukur kami selamat walaupun terpaksa menempuhi pelbagai dugaan termasuk keadaan jerebu tebal," kata nelayan, Putih Dagang, 62, yang ditemukan selamat setelah dilaporkan hilang sejak turun ke laut di Jeti Nelayan Pantai Puteri di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, warga emas berkenaan bersama anak ketiganya, Shahrul Putih, 33, pergi menangkap ikan di perairan laut menggunakan pukat tunda dengan perjalanan dianggarkan selama satu jam dari jeti nelayan iaitu pada jarak kira-kira 10 batu nautika.

Menurutnya, ketika mahu bertolak pulang kira-kira jam 12 tengah malam, penglihatan mereka dua beranak menjadi semakin kabur akibat jerebu tebal tetapi tetap meneruskan perjalanan pulang.

"Pak cik kemudian menyedari tersasar arah selepas mendapati lampu bot bernyala disebabkan hampir kehabisan minyak dan rupanya telah menghampiri perairan negara Indonesia.

"Nasib baik ketika menghadapi situasi cemas itu kami bertemu dengan beberapa nelayan Indonesia yang baik dan mereka cuba menghulurkan pertolongan untuk memberikan minyak malangnya mereka menggunakan minyak diesel.

"Disebabkan masalah itu mereka dengan kekuatan lima bot menarik bot kami menuju ke tempat perkampungan mereka di Pulau Rapat, Indonesia," katanya kepada pemberita selepas selamat tiba di Jeti Pengkalan Nelayan Pantai Puteri di sini semalam.

Putih dan Shahrul selamat tiba di jeti Pengkalan Nelayan Pantai Puteri selepas diiringi Bot Petir 85 Maritim.
Putih dan Shahrul selamat tiba di jeti Pengkalan Nelayan Pantai Puteri selepas diiringi Bot Petir 85 Maritim.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ini merupakan kali pertama dia sampai ke pulau berkenaan sepanjang tempoh 20 tahun menjadi nelayan.

"Disebabkan nak dapatkan duit untuk beli minyak petrol, saya dan anak terpaksa menjual hasil tangkapan kami. Masa di pulau itu kami tidak fikir sangat mengenai keluarga kerana pada saat itu apa yang lebih membimbangkan dan menakutkan sekiranya ditangkap pihak berkuasa negara jiran itu.

"Masa pak cik nak ke perkampungan mereka, orang-orang Indonesia telah pun nasihatkan supaya sorok-sorok dan pak cik ikut cakap mereka. Syukur segalanya selamat," katanya.

Sementara itu, Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Amran Daud berkata, pihaknya menerima laporan mengenai sebuah bot nelayan tidak pulang di pangkalan nelayan dipercayai kerana keadaan jerebu tebal sebelum menubuhkan operasi mencari dan menyelamat yang turut disertai Angkatan Pertahanan Awam), Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Amran
Amran

Menurutnya, pihaknya turut menggerakkan dua aset iaitu Bot Petir 85 dan Petir 91 bagi mengesan dua nelayan terbabit sebelum maklumat diperoleh mereka berjaya ditemui di jeti Akademi Laut Malaysia (ALAM), Kuala Linggi kira-kira jam 12.05 tengah hari.

"Selepas menemui mereka, anggota bot petir 85 kemudian mengiringi bot nelayan itu ke Pantai Puteri dan kita juga menamatkan SAR berkenaan," katanya.