Polis selesai 13 kes pecah rumah, curi kenderaan di Kajang

Barangan yang dirampas selepas polis menahan 12 suspek sekitar Kajang dan Semenyih minggu lalu.
Barangan yang dirampas selepas polis menahan 12 suspek sekitar Kajang dan Semenyih minggu lalu.
A
A
A

KAJANG - Polis berjaya menyelesaikan beberapa kes pecah rumah dan melarikan kenderaan selepas menahan 12 suspek termasuk seorang wanita di sekitar Kajang dan Semenyih minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, hasil penahanan kesemua suspek, polis menemui semula wang tunai sebanyak RM30,200, sembilan kenderaan yang dilarikan, 20 unit telefon bimbit pelbagai jenis, tiga unit komputer riba dan satu set sport rim kereta hasil kegiatan pecah rumah dilakukan suspek.

Menurutnya, sebanyak 13 kes pecah rumah dan melarikan kenderaan dilaporkan berlaku di daerah Kajang sejak hujung Julai lalu.

Katanya, rentetan peningkatan kes, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi menangani, mengumpul maklumat, mengesan serta menangkap kumpulan penjenayah terlibat.

"Bertindak atas maklumat dan risikan dijalankan, polis menahan seorang lelaki berusia 22 tahun pada jam 5.30 petang 10 September lalu di Taman Bangi Jaya, Semenyih.

"Semakan mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau melibatkan samun, pecah rumah, curi kenderaan dan penyalahgunaan dadah. Ujian saringan air kencing ke atas suspek juga didapati positif dadah jenis syabu," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan tangkapan pertama, polis kemudian menahan 11 lagi suspek termasuk seorang wanita berusia lingkungan 20-an hingga 40-an antara 11 September hingga 14 September lalu.

Katanya, semakan mendapati 10 daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes samun, pecah rumah, curi kenderaan dan juga dadah.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Dzaffir menunjukkan antara kenderaan dirampas semula selepas polis menahan geng pecah rumah dan melarikan kenderaan minggu lalu.
Ahmad Dzaffir menunjukkan antara kenderaan dirampas semula selepas polis menahan geng pecah rumah dan melarikan kenderaan minggu lalu.

Menurutnya, empat daripada suspek ditahan didapati positif dadah jenis syabu melalui ujian saringan air kencing yang dijalankan.

"Kumpulan ini juga dipercayai menggunakan modus operandi yang sama di kawasan lain. Kesemua tangkapan direman sehingga hari ini dan siasatan masih lagi dijalankan.

"Hasil tahanan kesemua suspek, polis berjaya selesaikan satu kes curi, satu kes pecah rumah dan lapan kes pecah rumah dan melarikan kenderaan," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Dzaffir berkata, jenayah pecah rumah dan melarikan kenderaan dilihat semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, jenayah didapati berlaku akibat kelalaian mangsa sendiri yang tidak mengunci rumah dengan sempurna serta mengambil sikap ambil mudah atas keselamatan diri sendiri dan harta benda.

Beliau dalam pada itu turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu terlibat dalam kegiatan jenayah supaya berhubung dengan balai polis terdekat.