Harimau kumbang berkeliaran masih belum ditangkap

Laporan berita Sinar Online sebelum ini.
Laporan berita Sinar Online sebelum ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Harimau kumbang yang dilapor berkeliaran di Taman Harmoni dekat Al Muktafi Billah Shah, Dungun sejak dua minggu lalu masih belum berjaya ditangkap.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dr Abdul Malik Mohd Yusuf berkata, pihaknya telah memasang perangkap harimau di sekitar kawasan itu semalam dan terus melakukan pemantauan.

"Selagi harimau itu belum masuk perangkap, kita nasihatkan penduduk terus berhati-hati dengan pergerakan mereka serta mengelak berada di luar rumah sekiranya tiada perkara yang mustahak.

"Paling penting penduduk perlu melaporkan segera kepada Perhilitan sekiranya ada terlihat harimau itu di persekitaran mereka," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya, ini adalah aduan pertama diterima pihaknya mengenai harimau di kawasan perumahan setelah kemunculan dua ekor harimau di Kampung Besul Lama, Bukit Besi di Dungun dua bulan lalu.

Semalam, Bernama melaporkan kebimbangan penduduk di taman perumahan itu kerana sering melihat harimau kumbang di sekitar rumah mereka sejak dua minggu lalu.

Pada 19 Julai lalu, seekor harimau daripada spesies Malaya yang dianggarkan seberat 130 kilogram berjaya ditangkap kira-kira 3.30 petang selepas ditembak menggunakan ubat pelali.

Haiwan yang dianggarkan berusia lima tahun itu ditangkap ketika sedang berehat di kawasan belukar sekitar 500 meter dari jalan utama Kampung Besul Lama.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, harimau berkenaan dilaporkan mati pada 23 Julai lalu ketika berada dalam rawatan dan kuarantin di Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) di Sungkai, Perak. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Harimau kumbang muncul di Dungun