Pemandu lori menyamar polis, dituduh cabul, rogol wanita

Harsono dibawa keluar oleh anggota polis dari Kompleks Mahkamah Kuantan hari ini.
Harsono dibawa keluar oleh anggota polis dari Kompleks Mahkamah Kuantan hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Seorang pemandu lori berdepan 12 pertuduhan membabitkan kes samun, rogol, cabul dan menyamar polis di dua mahkamah berasingan di sini hari ini.

Bagi pertuduhan di Mahkamah Majistret Kuantan, tertuduh, Harsono Bakri, 27, berdepan dua pertuduhan iaitu menyamar polis dan cabul.

Bagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuantan, tertuduh berdepan 10 pertuduhan iaitu tujuh pertuduhan samun dan satu pertuduhan rogol, cabul dan menyamar polis.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan dan minta dibicarakan di hadapan Majistret Nurul Farahah Mohd Suah dan Hakim Sazlina Safie.

Kesemua pertuduhan di kedua-dua mahkamah itu didakwa dilakukan antara Jun hingga Ogos lalu di beberapa lokasi sekitar daerah ini melibatkan kesemua mangsa wanita berusia lingkungan 20-an.

Pendakwaan di Mahkamah Majistret dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Wan Azreen Wan Zaid dan di Mahkamah Sesyen oleh Haryati Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh ketika rayuan jumlah ikat jamin menyatakan dia mempunyai seorang ibu yang cacat, seorang isteri dan dua anak.

Dia ditawarkan ikat jamin berjumlah RM71,000 untuk kesemua pertuduhan di Mahkamah Sesyen, bagaimanapun Mahkamah Majistret tidak menawarkan sebarang jaminan.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan samun dibuat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 14 tahun dan boleh denda atau sebat manakala rogol dibuat di bawah Seksyen 376(2)(b) Kanun sama.

Hukuman bagi Seksyen 376 (2)(b) memperuntukkan penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan sebatan.

Untuk kes cabul dibuat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dengan peruntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana mana daripada dua hukuman itu, manakala menyamar polis di bawah Seksyen 170 kanun sama dengan peruntukan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Kedua dua mahkamah menetapkan 17 Oktober depan untuk lantikan peguam dan pengurusan kes.