Jerebu: 111 buah sekolah lagi ditutup di Pulau Pinang

Ibu bapa hadir ke Sekolah Rendah Kebangsaan Sri Rampai di sini untuk mengambil anak-anak mereka pulang berikutan penutupan sekolah tersebut akibat jerebu hari ini. - Foto Bernama
Ibu bapa hadir ke Sekolah Rendah Kebangsaan Sri Rampai di sini untuk mengambil anak-anak mereka pulang berikutan penutupan sekolah tersebut akibat jerebu hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Sebanyak 111 buah sekolah lagi ditutup berikutan keadaan jerebu yang semakin buruk hari ini.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, kesemua 111 sekolah yang ditutup terletak di daerah Timur Laut.

Menurutnya, jumlah keseluruhan sekolah ditutup di Pulau Pinang setakat ini sebanyak 162 buah selepas 51 buah di daerah Barat Daya ditutup lebih awal pagi tadi selepas indeks pencemaran udara (IPU) di Balik Pulau mencatatkan paras bacaan sangat tidak sihat.

Berdasarkan laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), IPU di Balik Pulau direkodkan pada paras 242 dan di Minden, Universiti Sains Malaysia (USM) mencatatkan bacaan IPU 216 setakat jam 12 tengahari tadi.

Sementara itu, dua kawasan di tanah besar mencatatkan IPU tidak sihat iaitu itu bacaan di Seberang Jaya mencatatkan bacaan 171, manakala stesen Seberang Perai mencatatkan bacaan 164.

Bacaan IPU 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, antara 51 dan 100 (sederhana), antara 101 dan 200 (tidak sihat), antara 201 dan 300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).

Difahamkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan mengeluarkan kenyataan rasmi pada jam 3 petang mengenai sesi persekolahan esok berikutan keadaan jerebu yang semakin memburuk hari ini.

Artikel Berkaitan: