Pembantu perubatan maut ketika pergi kerja

Keadaan motosikal mangsa dalam kejadian tersebut. Foto ihsan pembaca
Keadaan motosikal mangsa dalam kejadian tersebut. Foto ihsan pembaca
A
A
A

JASIN - Hasrat seorang pembantu perubatan untuk ke tempat kerja tidak kesampaian setelah maut dalam kemalangan di Kilometer 5 Jalan Bemban-Tehel di sini malam tadi.

Dalam kejadian lebih kurang jam 8.30 malam, mangsa, Musalli Mohd Din, 28, yang menunggang motosikal bersendirian dari arah Bemban ke Tehel itu dalam perjalanan menghala ke tempat kerja di Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS150 secara tiba-tiba hilang kawalan.

Menurutnya, akibat kejadian itu mangsa terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah lori tangki Angkatan Tentera Malaysia (ATM ) dipandu Muhammad Hamirul Adha Hamzah, 30, yang beralamat di Markas Tentera Darat Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.

"Mangsa hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan, dalam masa yang sama sebuah lori tangki yang membawa muatan air menghala ke Tehel melalui jalan itu.

"Mangsa gagal mengelak lalu merempuh lori tangki yang dalam perjalanan untuk menghantar bantuan bekalan air di kawasan Kesang Damai," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, mangsa yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun pemandu lori tangki yang juga bekerja sebagai tentera tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Sek. 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.