Beruang mati akibat kebakaran hutan di Riau

Bangkai seekor ular bersaiz gergasi semasa memadam kebakaran di lokasi sama beberapa hari lalu. - Foto: Kompas
Bangkai seekor ular bersaiz gergasi semasa memadam kebakaran di lokasi sama beberapa hari lalu. - Foto: Kompas
A
A
A

PEKANBARU - Kebakaran hutan di Indonesia bukan sahaja menyebabkan kemusnahan alam dan pencemaran udara malah turut mengancam hidupan liar.

Dalam insiden terbaharu, dua ekor beruang dilaporkan mati dalam kebakaran hutan di wilayah Riau.

Ketua Logistik, Agensi Pengurusan Bencana Wilayah (BPBD) Daerah Indragilir Hilir, Riswanto berkata, bangkai beruang tersebut ditemui penduduk kampung di sebuah ladang nanas di Desa Bayas.

Menurutnya, penduduk kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada anggota BPBD yang menjalankan kerja-kerja pemadaman kebakaran di kawasan berkenaan.

"Ada dua ekor beruang mati terbakar di sebuah ladang nanas. Selepas menerima aduan, anggota BPBD bergegas ke lokasi kejadian.

"Namun bangkai beruang itu tidak ditemui kerana telah dialihkan penduduk," katanya.

Kebakaran hutan di Pekanbaru, Riau.- Foto: Kompas
Kebakaran hutan di Pekanbaru, Riau.- Foto: Kompas

Artikel Berkaitan:

Riswanto berkata, anggotanya turut menemui bangkai seekor ular bersaiz gergasi semasa memadam kebakaran di lokasi sama beberapa hari lalu.

Sejak beberapa hari lalu, Indonesia sudah mengerah ribuan askar sebagai anggota bomba sementara dan puluhan pesawat pengebom air untuk memadam kebakaran yang menukar hutan hujan di pulau Sumatera dan Kalimantan kepada kawasan rentung.

Kelmarin, pihak berkuasa berkata, mereka sudah menahan hampir 200 individu yang disyaki terbabit dengan aktiviti yang mengakibatkan kebakaran tanpa kawalan. - Agensi