Pilihan raya Israel berakhir tanpa pemenang yang jelas

Foto fail EPA
Foto fail EPA
A
A
A

BAITULMAQDIS - Pilihan raya Israel yang menyaksikan pertembungan sengit antara parti politik berakhir pada Selasa malam dengan pemberian suara eksit menunjukkan keputusan seri antara Parti Likud pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dengan Pakatan Biru dan Putih, parti berhaluan tengah yang diterajui bekas ketua tentera Benny Gantz, lapor agensi berita China Xinhua.

Pemberian suara eksit yang dikeluarkan tiga saluran TV utama Israel menunjukkan Pakatan Biru dan Putih mendapat majoriti tipis apabila meraih 33 kerusi berbanding Parti Likud yang memperoleh 32 kerusi.

Kedua-dua parti nampaknya akan gagal meraih kerusi yang mencukupi dengan sekutu masing-masing bagi memperoleh majoriti dalam parlimen atau Knesset yang mempunyai 120 kerusi bagi membentuk kerajaan.

Keputusan itu mencadangkan bahawa kedua-dua parti akan memerlukan sokongan Avigdor Lieberman, pemimpin Parti Our Home Israel untuk membentuk gabungan pemerintah.

Lieberman yang menjadi dalang politik dalam pilihan raya Israel menyeru ke arah pembentukan sebuah kerajaan perpaduan yang akan melibatkan partinya sendiri dan dua parti terbesar di negara itu iaitu Likud serta Pakatan Biru dan Putih.

Bercakap kepada para penyokongnya di ibu pejabat parti, Lieberman berkata, beliau akan bersetuju bahawa pihaknya akan berada di luar gabungan jika langkah itu mampu menyatukan Parti Likud dan Pakatan Biru dan Putih.

Lieberman menggesa Gantz dan Netanyahu agar mengumumkan bahawa mereka bersedia menyokong kerajaan perpaduan.

Beliau merayu kepada Presiden Reuven Rivlin untuk memanggil Gantz dan Netanyahu pada Jumaat bagi mengadakan satu perbincangan tidak rasmi mengenai kemungkinan pembentukan sebuah kerajaan perpaduan.

Artikel Berkaitan:

"Saya cadangkan presiden mempercepat proses itu dan tidak menunggu keputusan akhir," katanya.

Rundingan berkaitan pembentukan kerajaan perpaduan dijangka rumit memandangkan ketiga-tiga blok politik di Israel itu enggan berkompromi dalam beberapa isu tertentu, sekali gus menyaksikan kebuntuan politik yang terpaksa dihadapi Netanyahu.

Keputusan pengundian menimbulkan keraguan terhadap pemerintahan sedekad Netanyahu apabila Parti Likud gagal meraih majoriti 61 kerusi dalam Knesset bersalam sekutunya bagi membentuk kerajaan.

Netanyahu, yang merupakan Perdana Menteri Israel paling lama berkhidmat, turut berdepan pertuduhan rasuah yang serius dan mungkin didakwa. - Bernama