Awas perokok! Larangan berkuatkuasa tengah malam ini

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Semua premis makanan di negara ini diwartakan sebagai tempat larangan merokok berkuatkuasa 12 tengah malam ini, selari dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pindaan pewartaan itu dilaksanakan mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004).

Katanya, larangan itu bertujuan melindungi orang awam daripada terdedah kepada asap rokok.

“Premis itu membabitkan semua kaedah perniagaan tidak kira bertutup, berhawa dingin, atau berkonsep terbuka (open air).

“Pihak Kementerian Kesihatan sentiasa komited bagi memastikan orang awam terutama kanak-kanak, wanita mengandung dan orang tua sentiasa dilindungi daripada bahaya asap rokok,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, perokok hanya dibenarkan merokok di kawasan tiga meter atau 10 kaki dari kedai makan dan restoran terbuka.

Katanya, peraturan baharu itu juga menetapkan pengusaha dan pemilik kedai makan serta restoran perlu menaikkan tanda larangan merokok selain tidak menyediakan kemudahan untuk merokok seperti bilik khas merokok dan bekas membuang puntung rokok.

Peraturan larangan merokok itu diwarta mengikut Peraturan 11, PPKHT 2004 yang mana mereka melanggarnya boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Artikel Berkaitan:

Bagi pengusaha kedai makan dan restoran yang gagal mematuhi peraturan itu boleh didenda melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.