Suspek kes bunuh di Bukit Jambul ditahan

Anggota forensik melakukan siasatan di lokasi kejadian.
A
A

GEORGETOWN - Polis menahan seorang lelaki berusia 35 tahun yang dipercayai terlibat dengan kes bunuh yang berlaku berhampiran Kompleks Bukit Jambul di sini Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, suspek terbabit diberkas di sebuah kondominium di Lorong Kenari,Bayan Lepas di sini jam 3.45 pagi tadi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dengan kes berkenaan dengan menikam mangsa yang berusia 31 tahun.

Che Zaimani
Che Zaimani

"Ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

"Semakan yang dibuat mendapati suspek mempunyai lapan rekod kesalahan lampau bersabit jenayah dan dadah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Che Zaimani berkata, suspek juga mengakui ahli kumpulan kongsi gelap Triple Two One di kawasan Bukit Jambul.

Katanya, polis merampas pakaian, kasut, topi, beg tangan serta telefon bimbit milik suspek untuk siasatan lanjut.

"Suspek dibawa ke mahkamah pagi ini untuk mendapatkan perintah remah.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seorang lelaki maut ditikam rakannya selepas mereka bergaduh kerana masalah hutang berhampiran Kompleks Bukit Jambul di sini.

Dalam kejadian jam 11.40 malam, mangsa berusia 31 tahun ditemui mati dengan kesan tikaman dipercayai objek tajam di bahagian dada sebelah kanan.

Difahamkan mangsa bertemu dengan suspek di hadapan premis terbabit sebelum berlaku pertengkaran antara mereka kerana masalah hutang.