X

Kindly register in order to view this article
!

Buku Rahmatan Lil Alamin diterbitkan pelbagai bahasa

Syed Hussien (tengah) menyempurnakan pelancaran buku bertajuk 'Rahmatan Lil Alamin dalam konteks masyarakat kontemporari' diterbitkan MAIWP bersama UIAM di UIAM Gombak hari ini.
A
A

GOMBAK - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan menerbitkan buku-buku menerangkan konsep Rahmatan Lil Alamin dalam pelbagai bahasa termasuklah bahasa Mandarin, bahasa Tamil dan bahasa Inggeris selewat-lewatnya suku tahun pertama 2020.

Pengerusinya, Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee berkata, usaha ini penting agar buku mengandungi idea sebenar dan penjelasan konsep itu dapat diedarkan secara percuma dalam pelbagai bahasa bersesuaian masyarakat di negara ini yang berbilang kaum, bahasa dan budaya serta antarabangsa.

Menurutnya, penerbitan buku Rahmatan Lil Alamin dalam konteks masyarakat kontemporari juga penting untuk memberi kefahaman berkenaan keperluan mengamalkan sifat rahmah sesama masyarakat berbilang budaya, agama dan latar belakang lain.

"Saya mendapati konsep Rahmatan Lil Alamin merupakan satu orientasi penting dalam falsafah, misi dan objektif kerajaan untuk meletakkan Rahmatan Lil Alamin sebagai satu gagasan penting perlu dipraktikkan semua lapisan masyarakat.

"Gagasan ini menuntut semua manusia mempunyai perasaan berkasih sayang dan hormat menghormati di samping memberi mesej agar kita sebagai khalifah bertindak bijaksana dengan berlaku adil, " katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan buku bertajuk 'Rahmatan Lil Alamin dalam konteks masyarakat kontemporari' diterbitkan hasil kerjasama MAIWP dan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) di UIAM di sini hari ini.

Syed Hussein berkata, pada hari ini wujud pelbagai salah faham dan tafsiran menyimpang mengenai konsep Rahmatan Lil Alamin.

Oleh yang demikian, beliau menegaskan usaha perlu digerakkan untuk memberi kefahaman kepada semua pihak mengenai makna dan ciri sebenar konsep itu.

Menurutnya, buku ini yang akan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan Mandarin kelak akan diperluaskan pengedaran ke peringkat antarabangsa bagi membolehkan konsep Rahmatan Lil Alamin disebarkan ke seluruh dunia.

"Melalui buku ini, pembaca dapat melihat bagaimana konsep Rahmatan Lil Alamin dibincangkan dengan menggabungkan konsep itu dengan pelbagai bidang ilmu seperti ilmu sains kemasyarakatan, sains kemanusiaan, pengurusan, ekonomi dan undang-undang.

"Buku ini boleh menjadi sumber kepada pembuat dasar, pengamal media, pendidik, pendakwah atau ahli politik untuk mereka membangun program tindakan berkaitan konsep Rahmatan Lil Alamin," katanya.

Buku bertajuk 'Rahmatan Lil Alamin dalam konteks masyarakat kontemporari' mengandungi 22 bab itu membahaskan konsep Rahmatan Lil Alamin hasil garapan 20 ahli akademik dari pelbagai universiti awam di Malaysia.

Tiga tema utama dipilih iaitu Sumber dan Asas konsep Rahmatan Lil Alamin, pemangkin kefahaman Manifestasi Rahmatan Lil Alamin dan Prinsip Utama Konsep Rahmatan Lil Alamin.

Antara isu kontemporari dibahaskan iaitu isu kehidupan masyarakat majmuk dan fiqh al-ta'ayush, ekstremisme dalam beragama, falsafah pendidikan, institusi wakaf, dialog antara agama, urus tadbir baik dan budaya kerja.