Restoran, chalet Berjaya Tioman Resort terbakar

Rakaman video kebakaran yang dikongsi netizen di Youtube.
Rakaman video kebakaran yang dikongsi netizen di Youtube.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Dua blok bangunan yang menempatkan lapan bilik penginapan dan sebuah restoran di Berjaya Tioman Resort di Pulau Tioman musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Bagaimanapun kebakaran yang dilaporkan kira-kira jam 2.30 pagi itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan jiwa dalam kalangan tetamu mahupun pekerja resort terbabit.

Pengarah jabatan Bomba dan penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2.42 pagi sebelum lima anggota pasukan bomba sukarela (PBS) Tioman dikerah ke lokasi.

Menurutnya, anggota PBS Tioman tiba di lokasi untuk operasi pemadaman dengan dibantu tiga anggota bomba dari lapangan terbang Pulau Tioman dan 25 kakitangan resort terbabit.

“Pemadaman pada peringkat awal menggunakan sumber air pili bomba sebelum bekalan air dari diambil dari sumber air yang terbuka. Api berjaya dikawal kira-kira jam 8.15 pagi tadi.

“Kakitangan Berjaya Resort juga melakukan pemadaman pada peringkat awal kebakaran dengan menggunakan alat pemadam api dan pancutan air namun gagal kerana keadaan api yang marak," katanya.

Nor Hisham berkata, tindakan pantas bomba berjaya mengelakkan api daripada terus merebak ke blok bangunan lain.

“Siasatan awal mendapati api dipercayai bermula dari ruang tamu dan merebak ke dua bilik berhampiran seterusnya ke bilik karaoke dan restoran,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih belum dikenal pasti.