Lapan stesen catat IPU sangat tidak sihat

Lima stesen baharu yang memasuki senarai itu ialah Balik Pulau, Pulau Pinang (218), Putrajaya (203), Petaling Jaya (205), Selangor, Klang (202), Selangor dan Shah Alam (221), Selangor.
Lima stesen baharu yang memasuki senarai itu ialah Balik Pulau, Pulau Pinang (218), Putrajaya (203), Petaling Jaya (205), Selangor, Klang (202), Selangor dan Shah Alam (221), Selangor.
A
A
A
SHAH ALAM - Bilangan stesen yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat di seluruh negara meningkat kepada lapan kawasan pagi ini berbanding empat semalam.

Berdasarkan Laman Web Rasmi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar setakat jam 9 pagi tadi, lima stesen baharu yang memasuki senarai itu ialah Balik Pulau, Pulau Pinang (218), Putrajaya (203), Petaling Jaya (205), Selangor, Klang (202), Selangor dan Shah Alam (221), Selangor.

Tiga stesen lain yang kekal bacaan IPU sangat tidak sihat ialah, Johan Setia (260), Selangor, Nilai (210), Negeri Sembilan dan Sri Aman (239), Sarawak.

Sri Aman yang mencatatkan bacaan IPU 392 iaitu pada tahap bahaya semalam telah menurun ke tahap yang sangat tidak sihat pagi ini.

Terdahulu, sebanyak 99 sekolah lagi di daerah Petaling Perdana, Kuala Selangor, Gombak dan Petaling Utama ditutup, menjadikan sekolah jumlah ditutup di Selangor hari ini ialah 214 sekolah.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan pagi ini berkata, penutupan itu dibuat susulan bacaan IPU di kawasan itu melebihi 200, iaitu pada tahap sangat tidak sihat, bermula 12 tengah malam tadi.

Penambahan 99 sekolah daripada 115 buah sekolah, dibuat berdasarkan bacaan IPU di stesen Shah Alam, sekaligus menjadikan jumlah pelajar yang terlibat dalam penutupan sekolah seramai 231,921 orang.

Kata kenyataan itu lagi, sebarang perubahan atau maklumat terbaharu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Kementerian Pendidikan malam tadi turut memberitahu, sebanyak 115 sekolah di daerah Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Sabak Bernam ditutup pagi ini, susulan keadaan jerebu yang serius di kawasan berkenaan.
Artikel Berkaitan:


Bacaan IPU antara 0 dan 50 di kategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).