Produk pelancongan Kelantan kurang dikomersialkan

Mustapa Mohamed
A
A

JELI - Kerajaan dan pihak swasta perlu campur tangan dalam memajukan serta mengkomersialkan kawasan pelancongan di Kelantan agar dapat menjadi model ke arah meningkatkan industri pelancongan di negeri ini.

Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Kelantan kekurangan produk pelancongan yang dikomersialkan bagi menarik pelancong terutama dari luar negara untuk singgah ke negeri ini.

"Kadang-kadang ketika saya menaiki kapal terbang, saya tanya pelancong mereka hendak ke mana dan mereka menjawab ke Pulau Perhentian. Jadi ini menunjukkan betapa pentingnya sesuatu produk pelancongan itu dikomersialkan.

"Model terbaik bagi membangunkan industri pelancongan di negeri ini ialah menerusi usaha pihak swasta dengan kerajaan negeri mahupun Persekutuan bagi membangunkan kemudahan infrastruktur seperti jalan dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas melawat produk pelancongan Lalang's Lata Keding, Bukit Kudung di sini hari ini.

Produk pelancongan terbabit diusahakan oleh pihak swasta berkonsepkan eko-pelancongan yang berpotensi dikomersilkan.

Mustapa berkata, pihak swasta mempunyai banyak modal untuk membuat pelaburan dalam sesuatu bidang namun dalam masa yang sama, kerajaan juga perlu memainkan peranan.

"Dengan ada pelaburan pengusaha swasta saya mengharap kerajaan juga turut melabur untuk membina infrastruktur di sekitar produk pelancongan yang diusahakan oleh pihak swasta, " katanya.- Bernama