Tarif cukai pintu: AMK Pulau Pinang lancar petisyen

Fahmi Zainol
Fahmi Zainol
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang melancarkan petisyen supaya mengekalkan tarif cukai pintu sempena penarafan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menjadi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pada Isnin lalu.

Ketuanya, Fahmi Zainol berkata, majoriti penduduk Seberang Perai bukan dalam kalangan berada dan kenaikan cukai pintu bermula tahun hadapan sedikit sebanyak memberi kesan kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan ke bawah.

Menurutnya, sebelum ini dalam notis yang dikeluarkan oleh MBSB menyatakan mana-mana penduduk yang tidak bersetuju dengan kenaikan tarif cukai pintu boleh membuat bantahan kepada Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud melalui surat.

"AMK Pulau Pinang mengambil inisiatif untuk melancarkan petisyen bantahan bagi membantu seluruh penduduk Seberang Perai, Pulau Pinang.

"Setiap penduduk Seberang Perai boleh bersama kami dengan mengisi borang secara talian. Kami yakin jika ramai yang membantah, kerajaan negeri akan mengkaji semula kenaikan ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kenaikan perlu dilakukan selepas kadar cukai taksiran sedia ada tidak disemak sejak 15 tahun lalu selain peningkatan kos pengurusan yang terpaksa ditanggung dua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Menurutnya, tempoh penangguhan selama 15 tahun terlalu lama dan sekiranya ditangguhkan lagi ia akan memberi impak lebih tinggi kepada pembayar cukai pada masa akan datang.

"Keistimewaan yang kita nikmati sebelum ini sudah sampai masanya untuk pihak kerajaan negeri kaji. Bagaimanapun kenaikan yang dilakukan akan dibuat secara berhemah dan kita cuba cari satu keseimbangan supaya golongan majoriti terutamanya B40 tidak akan dibebankan dengan kenaikan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut mengenai petisyen yang dilakukan, Fami berkata, surat bantahan akan dikumpulkan seberapa banyak mungkin dan pimpinan AMK Pulau Pinang akan menyerahkan surat bantahan terus kepada Rozali dan Kon Yeow.

Beliau menyeru semua penduduk Seberang Perai Pulau Pinang untuk bersama-sama dalam kempen kekalkan tarif cukai pintu dengan mengisi borang yang disediakan secara atas talian.