Kadar sebenar kemiskinan negara mungkin lebih tinggi: Anwar

Anwar
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan perlu mengkaji semula kadar kemiskinan di negara ini berikutan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mendakwa peratusan kemiskinan di Malaysia adalah 15 peratus dan bukannya 0.4 peratus sebagaimana dilaporkan pada 2016.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kajian mengenai kadar kemiskinan di Malaysia harus diukur atau dikaji menggunakan kaedah yang betul bagi memastikan hasil kajian yang tepat.

“Saya melihat di mana-mana kampung atau kawasan Felda di Malaysia mempunyai rakyat yang miskin iaitu mereka yang berpendapatan rendah.

Oleh itu saya berpendapat kadar sebenar kemiskinan di negara ini mungkin lebih tinggi berbanding 0.4 peratus yang dinyatakan kerajaan.

“Saya juga berpendapat bahawa apa yang dikatakan Pelapor Khas Mengenai Kemiskinan Melampau dan Hak Asasi PBB, Prof Philip Alston mendakwa Malaysia mempunyai kadar kemiskinan yang sangat ketara dan kadar sebenar kemiskinannya ialah kira-kira 15 peratus adalah benar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Dialog ‘Digital Native Agenda (DNA23) The Challenges And Way Forward’ di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini malam semalam.

Pada masa yang sama, Anwar berkata, cara kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) melaksanakan program membasmi kemiskinan di negara ini tidak telus dan banyak kebocoran.

“Sehingga RM28 bilion setahun disalurkan untuk bantu orang miskin namun ia bocor dan bukan nelayan atau petani pun dapat bantuan...kenapa dia dapat..? Sebab dia ketua cawangan parti berkenaan.

“Oleh itu kita tidak mahu ia berlaku lagi bantuan harus sampai kepada golongan sasar. Kita perlu kenal pasti pelaksanaan, jangan lagi ada rasuah dan masalah ketirisan,” katanya.

Mengenai isu dakwaan Sabah dianaktirikan oleh kerajaan Pusat, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, kerajaan daripada dahulu sehingga kerajaan kini yang diterajui Pakatan Harapan tidak pernah menganaktirikan Sabah dan Sarawak.

“Ia hanya sentimen yang tidak sepatutnya ditimbulkan. Kalau dahulu orang cakap kerajaan Pusat 'rompak' kekayaan di Sabah contohnya kayu balak, ia tidak terjadi sebab yang merompak itu adalah pemimpin Sabah sendiri dan ada juga pemimpin daripada Pusat yang sama-sama merompak.

“Kalau mereka tidak merompak hasil kayu balak Sabah selama 20 tahun, sudah semestinya ia dapat membangunkan lagi negeri Sabah,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai, inisiatif DNA23, beliau berkata, kerajaan akan mengatasi masalah liputan rangkaian Internet di seluruh negara yang kini membatasi penggunaan teknologi digital seperti ditekankan dalam inisiatif berkenaan.

“Masih banyak jurang liputan Internet bukan saja di Sabah dan Sarawak malah turut berlaku di seluruh Malaysia. Namun kita bersyukur kerana kerajaan kini sedang mengatasi masalah berkenaan.

“Banyak manfaat yang dapat diperoleh dalam inisiatif DNA23 ini dan sebagai contoh dia dapat menaikkan pendapatan para petani dan nelayan melalui aplikasi yang dibangunkan. Melalui aplikasi ini semua nelayan dapat mengetahui harga semasa ikan yang ada di tempat lain,” katanya. - Bernama