Sampai bila nak berbalah kerana parti

No Image Caption
A
A
A

MINGGU lalu, politik Pakatan Harapan (PH) Perak dikejutkan dengan peletakan jawatan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai anggota dalam jawatankuasa parti komponen PH itu.

ADUN Malim Nawar, Leong Cheok Keng dan ADUN Pokok Assam, Leow Thye Yih, masing-masing wakil rakyat daripada DAP, membuat keputusan itu lantaran tidak berpuas hati dengan satu perbincangan dibuat pimpinan parti melibatkan kedudukan seorang Exco kerajaan negeri yang kini dalam perbicaraan mahkamah.

Mereka dikatakan tidak bersetuju apabila ada perbincangan dilakukan dalam kalangan pimpinan PH tanpa melibatkan jawatankuasa DAP.

Ironinya, PH berjaya membentuk kerajaan di Perak hasil kemenangan kerusi-kerusi yang terdiri gabungan Bersatu, Amanah, PKR dan DAP sendiri.

Meskipun hanya berkelebihan dua kerusi iaitu 29 DUN berbanding Barisan Nasional (BN) 27 kerusi dan Pas (tiga), jumlah itu sudah memadai untuk PH membentuk kerajaan baharu di Perak.

Justeru, dalam tempoh pemerintahan yang baru masuk satu tahun empat bulan pentadbiran ini, apakah perlu wujud situasi saling mempertikai kepimpinan dan keputusan dibuat?

Kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ibarat mengimbau kembali memori 2008 ketika mana Pakatan Rakyat membentuk kerajaan di Perak.

Kerajaan campuran ketika itu dibentuk hasil inisiatif gabungan kerusi dimenangi DAP sejumlah 18 kerusi, PKR (tujuh) dan Pas (enam) menjadikan jumlah kerusi pembangkang 31 berbanding 28 kerusi BN.

Artikel Berkaitan:

Tetapi apa yang berlaku, Pakatan Rakyat hanya berkesempatan memerintah selama 11 bulan sahaja, tempoh yang sudah pun dilepasi PH.

Pengundi-pengundi di Perak tentunya cukup faham akan situasi dan peristiwa-peristiwa yang berlaku ketika itu hingga mendapat gelaran tsunami politik.

Hubungan rapuh

Semuanya bermula daripada hubungan rapuh dan tidak kukuh hingga membawa kepada tindakan drastik oleh beberapa wakil rakyat.

Tanggal 4 Februari 2009, media seluruh negara melaporkan secara rasmi bahawa kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang berusia 11 bulan tumbang dengan empat ADUNnya keluar parti.

Mereka ialah Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-Behrang); Mohd Osman Mohd Jailu (PKR-Changkat Jering), Hee Yit Foong (DAP-Jelapang) dan seorang lagi, Adun Bota, Datuk Nasarudin Hashim yang kembali menganggotai UMNO selepas mengambil keputusan keluar parti untuk menyertai PKR.

Selain lompat parti dan tawaran jual beli, faktor apa lagi yang menjadi penyebab tindakan mereka jika bukan kerana rasa kecewa dan tidak puas hati.

Hee Yit Fong dalam temu bual bersama media tempatan ada menyebut bahawa beliau tidak menyesal melepaskan partinya kerana realitinya DAP yang terlebih dahulu membuangnya.

Begitu juga halnya dalam isu melibatkan wakil rakyat DAP kali ini, babak demi babak drama politik berhubung isu sama terus berlarutan dilakonkan sendiri anggota-anggota mereka.

Yang terbaru, menerusi kenyataan wakil rakyat Buntong, A Sivasubramaniam yang mengugut mahu membongkar rahsia berkaitan parti itu sekiranya ada kalangan ahli cuba memihak kepada mana-mana individu demi mencapai agenda politik peribadi.

Politik matang yang diperjuangkan pemimpin-pemimpin parti haruslah diterjemah dengan penuh rasa penghormatan tanpa perlu mendedahkan diri dengan sebarang perbalahan.

Tidak sedarkah bahawa sesungguhnya sudah kedengaran suara-suara yang mengatakan pembangkang di Perak kali ini tidak perlu terlalu bekerja keras?

Saban minggu ada sahaja isu baharu timbul semuanya melibatkan ketidaktentuan kepimpinan PH di Perak.

*Normawati Adnan ialah Wartawan Sinar Harian Perak

ARTIKEL BERKAITAN: 2 ADUN DAP Perak letak jawatan dalam parti demi Paul Yong