Cari jalan meminimumkan impak

A
A
A

TIBA-tiba jerebu datang lagi. Rutin kehidupan seharian terganggu. Pagi tampak suram seperti hendak hujan tetapi udara di sekeliling terasa membahang. Kesihatan kita turut terjejas.

Yang alah dengan jerebu terpaksa memakai topeng. Yang tidak alah pun terpaksa minum lebih banyak air masak kerana secara tiba-tiba tekak rasa kering.

Setelah lebih seminggu jerebu melanda, semakin ramai yang ke klinik untuk mendapat rawatan. Ada sekolah yang terpaksa ditutup. Meskipun terdapat ramalan bahawa jerebu akan berakhir dua minggu lagi, siapa yang dapat menjamin langit akan membiru, mentari menampakkan wajah dan udara nyaman kembali?

Sungguh. Akhir-akhir ini hidup kita berdepan dengan situasi yang tiada kepastian. Sama ada bencana alam berupa kebakaran, kemarau panjang dan ribut taufan, kebarangkalian kenaikan harga minyak, ancaman keganasan di Arab Saudi yang boleh menjadi perang akibat campur tangan Amerika Syarikat (AS), perang perdagangan AS-China atau ketidakpastian kesan Brexit kepada Eropah.

Semua ketidakpastian itu bakal memberi kesan kerisauan kepada kita. Dunia tanpa sempadan telah membawa masalah di hujung dunia jadi masalah kita!

Kita sendiri pun berada dalam keadaan ketidakpastian. Harga barang naik tanpa notis.

Jika dahulu satu negara boleh bising dengan kenaikan harga sebuku roti ataupun segelas teh tarik, kini harga air suam naik 10 sen segelas pun sudah bukan jadi bualan.

Di arena politik, masing-masing masih bercekau meskipun sudah lebih setahun pilihanraya berlalu. Apa juga perubahan dalam bidang pendidikan akan menimbulkan polemik.

Artikel Berkaitan:

Itu belum termasuk lagi perubahan teknologi yang merombak cara hidup kita hingga ia dinamakan disruptive technology.

Siapa yang mahu ketidakpastian? Siapa yang inginkan kocak dan gelombang dalam kehidupan ini seperti tiada penghujungnya? Pendek kata, apa jua hal yang berlaku di sekeliling kita pada hari ini terpaksa kita depani.

Hari ini kita belajar mengenai aplikasi baharu, esok datang pula aplikasi yang terkini. Jika kita enggan mengambil tahu, barangkali kita terpaksa membuang telefon yang ada kerana ia tidak dapat menampung aplikasi baharu itu.

Apakah yang hendak kita buat bila berdepan dengan impak perubahan ini? Cara yang boleh dilakukan ialah menolak apa juga perubahan yang mendatang dengan mengambil sikap tidak mahu ambil tahu.

Malah, jika jawapannya ialah meninggalkan dunia moden ini dan pergi ke pedalaman untuk suatu kehidupan baharu tanpa teknologi dan tanpa berita dunia, sanggupkah kita lakukannya?

Bagaimana pula seandainya kita melawan segala perubahan yang terjadi dengan cara memboikot? Kita agresif adakan segala kempen untuk menentang perubahan yang mendatang dengan tidak menggunakan kaca mata rasional?

Penentangan secara agresif ini lazimnya meletihkan dan kita akan kepenatan.

Kita boleh juga mengikut arus. Apa yang orang lain buat, kita pun buat sama. Apa yang orang lain gilakan, kita pun turut sama menggilainya.

Apabila orang lain tertipu dengan segala perubahan itu, kita pun sama-sama terkulat-kulat. Tetapi, di manakah nilai kemanusiaan kita untuk menaakul apa yang mendatangi kita? Apakah kita rela menjadi umpama binatang ternak dengan herd mentality?

Sebenarnya, apa jua perubahan yang mendatang dalam hidup yang penuh ketidakpastian ini tidak akan ada kesudahannya. Pada asasnya kita sebagai makhluk bernama manusia mempunyai kehendak yang sama seperti moyang kita. Tetapi cara kita memperoleh apa yang diingini itu sudah berubah.

Oleh itu, kita tidak boleh menolak perubahan yang mendatang. Suka atau tidak suka, kita terpaksa mengharunginya.

Yang boleh kita lakukan ialah meminimumkan impak yang bakal berlaku. Misalnya, tarif elektrik yang naik memang menyakitkan, namun kita perlukan tenaga elektrik.

Kita perlu cari jalan untuk meminimumkan impak melalui cara penjimatan dan menjarakkan tempoh penggunaan.

Harga barangan keperluan yang naik perlu ditangani dengan meminimumkan impak melalui pembelian barangan di tempatyang murah harganya.

Kita kenalah berfikir mencari jalan keluar. Meskipun berfikir itu memenatkan, tidak berfikir pun akhirnya menjadikan diri stres tanpa mengetahui apa sebabnya.

*Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian