Sejarah tokoh sastera, budaya dipamer di Muzium Tokoh

ADUN Johor Lama, Rosleli Jahari (kanan) bersama anak sulung Tokoh Sastera, Kebudayaan dan Persuratan Allahyarham Dr Shaharom Husain, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom (kiri) melihat gambar-gambar Shaharom Husain pada pameran Gapura Sastera dan Kolaborasi Ilmiah: Shaharom Husain di Muzium Tokoh Johor di sini semalam. - Foto Bernama
ADUN Johor Lama, Rosleli Jahari (kanan) bersama anak sulung Tokoh Sastera, Kebudayaan dan Persuratan Allahyarham Dr Shaharom Husain, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom (kiri) melihat gambar-gambar Shaharom Husain pada pameran Gapura Sastera dan Kolaborasi Ilmiah: Shaharom Husain di Muzium Tokoh Johor di sini semalam. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sejarah tokoh guru, sastera, budaya dan persuratan, Allahyarham Dr Shaharom Husain disingkap buat tatapan umum menerusi pameran yang dianjurkan di Muzium Tokoh Johor, di sini mulai semalam.

Pengarah Yayasan Warisan Johor, Mohd Ekmaluddin Ishak berkata, pameran Shaharom Husain: Gapura Sastera dan Kolaborasi Ilmiah: Shaharom Husain selama enam bulan itu bertujuan memberikan pendedahan, rujukan dan pembelajaran kepada orang ramai khususnya generasi muda.

“Shaharom Husain adalah sebahagian tokoh negeri Johor yang wajar dicontohi dan dijadikan idola dalam membina jati diri bangsa.

“Menerusi hasil penyelidikan, penulisan, pameran mahupun seminar, sifat dan karisma yang terdapat pada seseorang tokoh itu dapat diteladani,” katanya berucap pada majlis perasmian pameran berkenaan yang dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Rosleli Jahari.

Turut hadir, anak sulung Allahyarham Shaharom, Prof Dr Mohamed Hatta, yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Mohd Ekmaluddin berkata, pelbagai khazanah Allahyarham Shaharom meliputi lebih tujuh dekad lepas termasuk buku-buku karya beliau dan jurnal, maklumat peribadi, pelbagai foto, sijil pengiktirafan, barangan kesayangan, pakaian perkahwinan, jubah konvokesyen, koleksi kamera serta cermin mata dipamerkan menerusi pameran tersebut.

Beliau berkata, walaupun Shaharom sudah meninggal dunia pada 2008, namun, semangat dan tekad Allahyarham dalam dunia penulisan terus hidup menerusi karya-karya Allahyarham yang diangkat ke pentas teater dan drama.

Sementara itu, Rosleli yang pernah menjadi anak angkat Allahyarham ketika bersekolah darjah dua pada 1972 di bandar raya ini berkata, pameran tersebut sudah pastinya menarik perhatian pengunjung terutamanya kepada peminat sastera, sejarah dan budaya.

Artikel Berkaitan:

“Selain memaparkan riwayat hidup dan perjuangan Shaharom dalam bidang sastera, sejarah dan budaya, ia juga mampu memberi inspirasi kepada masyarakat untuk menghasilkan karya seni bermutu tinggi.

“Cikgu Shaharom kalau dia marah pun, dia akan cakap berlapik. Ayat dia cukup tertib. Banyak sejarah dan falsafah yang ditinggalkan oleh Allahyarham yang boleh dicontohi generasi muda,” katanya.

Dilahirkan di Kampung Peserai, Batu Pahat pada 1919, Allahyarham yang meninggal dunia di Gombak, Selangor pada 2008 ketika berumur 88 tahun pernah mendapat anugerah Tokoh Guru Johor, Tokoh Guru Kebangsaan, Anugerah Budayawan Johor, Ijazah Kehormat Sarjana Persuratan (Universiti Kebangsaan Malaysia) dan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan (Universiti Pendidikan Sultan Idris).

Dengan menggunakan nama pena ‘Dharmaya’, ‘Mashhor Malaya’ dan ‘Shabi’, antara novel karya beliau termasuk Hantu Laut, Si Bongkok Tanjung Puteri, Di Bawah Hujan Pelulu, Korban Sungai Muar, Jiwa Melarat serta Di Bawah Tikaman Garpu. - Bernama