Pekerja pasar raya maut bertembung kereta

Kemalangan tersebut menyebabkan motosikal mangsa remuk.
A
A

ROMPIN - Seorang pekerja pasar raya maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 106 Jalan Kuantan-Segamat di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa Abdul Rab’bani Hussin, 21, meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala seorang peneroka, Sulaiman Bustani, 64, yang memandu kereta tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azly Mohd Noor berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal Jenis Yamaha 125ZR menuju ke Bandar Tun Razak manakala pemandu kereta jenis Proton Saga dari Segamat menghala ke Kuantan.

"Setibanya di tempat kejadian penunggang motosikal masuk ke laluan bertentangan kerana ingin memotong lori dihadapannya.

Seorang pekerja pasaraya maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta.
Seorang pekerja pasaraya maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta.

"Namun, dia tidak sempat memotong dan bertembung dengan kereta yang menyebabkan penunggang tercampak ke laluan bertentangan.

"Akibat daripada itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk postmortem yang akan dilakukan pada pagi ini," katanya.

Azly berkata, pihaknya juga telah mengambil keterangan saksi di tempat kejadian bagi menjalankan siasatan.

Katanya lagi, kemalangan menyebabkan keseluruhan motosikal remuk.

"Keadaan jalan ketika itu kering kerana cuaca baik dan merupakan jalan lurus satu lorong dua hala namun gelap kerana ketiadaan lampu jalan.

"Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia