'Cari anak saya, kami dah tak ada apa-apa'

Michael (kanan) bersama Chua ketika ditemui di Pejabat Ketua Aduan MCA Johor di sini semalam.
Michael (kanan) bersama Chua ketika ditemui di Pejabat Ketua Aduan MCA Johor di sini semalam.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sepasang suami isteri nekad memutuskan hubungan bersama anak lelakinya yang berusia 21 tahun kerana tidak tahan menanggung beban hutang ah long yang ditinggalkannya.

Difahamkan, akibat perbuatan anaknya itu, pasangan itu kini terpaksa menanggung hutang hampir mencecah RM100,000 selain ancaman keselamatan daripada kira-kira 20 ah long.

Menurut bapa lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Chua, 46, tembelang anaknya itu terbongkar apabila dia menerima banyak panggilan telefon selain notis ugutan yang meminta mereka membayar hutang sejak Ogos tahun lalu.

Katanya, kerana menyayangi anaknya itu, dia dan isteri cuba menyelesaikan hutang awal yang mencecah hingga RM6,000.

“Kami tidak tahu dia buat apa dengan duit itu kerana tidak bercerita dengan kami. Hutang semakin bertambah dan kami sekeluarga sudah berhabisan kira-kira RM80,000," katanya ketika ditemui di Pejabat Ketua Biro Aduan Awam MCA Johor, Michael Tay di sini semalam.

Chua juga memberitahu, dia tidak pasti jumlah sebenar yang dipinjam anak sulungnya tetapi kini dia dan dan isteri serta dua anaknya menerima pelbagai ugutan daripada ah long.

"Anak saya juga sudah tidak pulang ke rumah hampir setahun lalu tetapi keadaan menjadi lebih parah apabila difahamkan dia sedang ditahan di Penjara Singapura atas kesalahan membabitkan isu hutang.

“Kami ada bertengkar dan selepas itu dia terus keluar rumah. Baru-baru ini isteri saya ada hubungi syarikat dia bekerja di Singapura dan dimaklumkan anak kami ini sudah ditahan di penjara kerana kesalahan hutang.

Artikel Berkaitan:

“Beberapa ah long yang hubungi kami tahu mengenai perkara ini tetapi masih juga menunggu kami jelaskan. Saya sudah kecewa dan tidak boleh tanggung lagi. Jika mahu juga cari dia sahaja kerana kami sudah tiada apa-apa,” katanya.

Lelaki itu juga memberitahu simpanan dia dan isteri juga sudah habis dan terpaksa menanggung malu kerana banyak meminjam dengan ahli keluarga lain untuk menjelaskan hutang.

Sementara itu Michael berkata, pihaknya akan membantu berurusan dengan kesemua ah long terbabit supaya tidak mengganggu keluarga Chua.