'Saya gembira di Jepun'

No Image Caption
A
A
A

PENYERANG muda negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak mengakui dia kini semakin dapat menyesuaikan diri di negara Matahari Terbit itu selepas hampir sembilan bulan berkelana di Jepun.

Menurut Hadi Fayyadh, dia gembira apabila diterima menjadi sebahagian daripada ‘keluarga besar’ Fagiano Okayama sejak menyertai kelab Divisyen 2 Liga Jepun (J2) itu pada penghujung tahun lalu.

Biarpun masih belum mendapat peluang berada dalam kesebelasan utama Fagiano Okayama musim ini, Hadi Fayyadh tidak mahu menjadikan situasi itu sebagai penghalang baginya untuk mencipta nama di bumi Jepun.

“Alhamdulillah setakat ini saya selesa berada di Jepun. Rakan-rakan sepasukan dan juga barisan jurulatih pasukan menerima baik sejak hari pertama saya datang ke Jepun. Kami ibarat sudah menjadi satu keluarga,” katanya kepada Sukan Sinar di Osaka, Jepun kelmarin.

Pada masa sama, Hadi Fayyadh menyerahkan keputusan mengenai masa depannya kepada pihak pengurusan Fagiano Okayama tatkala kontraknya masih berbaki kira-kira tiga bulan lagi.

“Jika saya tidak ditawarkan kontrak baharu bersama Fagiano, saya akan cuba berusaha mendapatkan tempat dengan mana-mana kelab di sini kerana saya masih mahu beraksi di Jepun,” jelasnya.

Hadi Fayyadh melakar sejarah baharu dalam arena bola sepak tanah air apabila dia muncul sebagai satu-satunya pemain Malaysia yang menyertai kelab Liga Jepun dengan kontrak selama setahun.

Penyerang tinggi lampai berusia 19 tahun itu yang pernah menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (JDT) secara rasmi menyertai Fagiano Okayama pada 21 Disember tahun lalu.

Artikel Berkaitan: