Semangat Hadi Fayyadh membara

No Image Caption
A
A
A

PENYERANG Fagiano Okayama, Hadi Fayyadh Abdul Razak tidak menganggap ‘kurang minit’ beraksi bersama kelabnya ketika ini menjadi tembok pemisah bagi mencipta kemasyhuran di bumi Jepun.

Sebaliknya, penyerang tinggi lampai berusia 19 tahun itu tetap bersemangat dan menanam azam yang tinggi memburu tempat dalam kesebelasan utama Fagiano Okayama.

Bagi Hadi Fayyadh, dia percaya peluangnya masih ada untuk ‘menembusi’ kesebelasan utama kelab Divisyen 2 Liga Jepun (J2) itu suatu hari nanti.

“Saya harus akui, ini antara cabaran yang harus saya hadapi untuk berada dalam kesebelasan utama pasukan. Jadi saya harus berusaha dengan gigih lagi, baik ketika latihan mahupun pada aksi persahabatan.

“Pada masa sama, saya juga perlu bersaing dengan rakan sepasukan sendiri kerana dia merupakan penjaring terbanyak J2 ketika ini. Saya harus bersaing betul-betul untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan,” katanya kepada Sukan Sinar di Osaka kelmarin.

Hadi Fayyadh berkata, dia masih dapat mengekalkan prestasinya biarpun belum dapat menunjukkan taring sebenar pada saingan J2 musim ini.

“Walaupun saya tak dapat bermain dalam liga (J2) ketika ini tetapi saya masih mendapat peluang bermain bersama pasukan pada pertandingan lain. Jadi setiap minggu, mana-mana pemain yang tidak bermain dalam liga (J2) akan diturunkan pada perlawanan tersebut.

“Ini satu perkara yang positif kerana sekurang-kurangnya saya akan bermain setiap minggu. Ia secara tidak langsung akan mengekalkan tahap kecergasan saya,” ujarnya yang merupakan satu-satunya pemain Malaysia yang menyertai kelab Liga Jepun dengan kontrak selama setahun.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Hadi Fayyadh yang mula menyertai Fagiano Okayama pada Disember tahun lalu mengakui, dia cukup gembira selepas hampir sembilan bulan berada di Jepun.

“Alhamdulillah setakat ini saya selesa berada di Jepun. Rakan-rakan sepasukan dan juga barisan jurulatih pasukan menerima baik sejak hari pertama saya datang ke Jepun. Kami ibarat sudah menjadi satu keluarga,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai kontraknya yang akan tamat penghujung tahun ini, Hadi Fayyadh menjawab: “Saya serahkan semua itu kepada pihak pengurusan kelab. Seboleh-bolehnya saya mahu terus bermain dengan kelab di Jepun.

“Jika saya tidak ditawarkan kontrak baharu bersama Fagiano, saya akan cuba berusaha mendapatkan tempat dengan mana-mana kelab Jepun. Saya percaya saya mampu mengasah skil dan mutu permainan jika terus bermain di sini.

“Buat masa ini, saya letak sasaran untuk kekal lama di Jepun. Selain itu, saya berazam membantu pasukan layak ke J1 dan paling penting, saya dapat bermain dan membantu pasukan menang dalam setiap perlawanan,” katanya.