MA63: Anwar beri jaminan selesai cara baik bila jadi PM

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

KOTA KINABALU - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan menyelesaikan hal-hal berkaitan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) secara baik apabila tiba giliran menjadi perdana menteri kelak.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil serius mengenai tuntutan itu, malah telah membentuk satu jawatankuasa khas yang turut dianggotai Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk sama-sama berbincang mengenai kaedah pelaksanaan dengan lebih berkesan.

“Ini menunjukkan Pakatan Harapan (PH) serius dalam komitmennya dan orang Sabah serta Sarawak faham bahawa kita akan pastikan komitmen ini akan kita laksanakan. Insya-ALLAH, kemajuannya sangat baik sekarang dan apabila datang giliran saya (menjadi perdana menteri) saya akan pastikan ia selesai dengan begitu baik," katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Serentak Keadilan Sabah, Anwar

Anwar berkata, isu MA63 bukanlah soal kecil kerana ia telah lama tertangguh, namun terdapat banyak kemajuan dicapai dalam menyelesaikan isu terbabit sekali gus menolak tanggapan sesetengah pihak pembangkang yang mendakwa tiada perubahan dilakukan kerajaan sekarang.

Beliau berkata, berita baik mengenai penubuhan jawatankuasa khas itu diumumkan Dr Mahathir pada sambutan Hari Malaysia 2019 di Kuching, Sarawak semalam membuktikan kerajaan PH komited untuk merealisasikan janji manifesto pada pilihan raya lepas.

Semalam, Tun Dr Mahathir berkata, kerajaan PH masih meneruskan usaha untuk mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak termasuk menyelesaikan beberapa perkara berbangkit sebagaimana diperuntukkan dalam MA63 termasuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak pelaksanaan perjanjian itu.

Kerajaan juga bersetuju menyerahkan sepenuhnya urusan pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada kerajaan Sabah kecuali perkara berkaitan dengan keselamatan yang masih terletak di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, gabungan UMNO dan Pas menerusi Piagam Muafakat Nasional bukanlah menjadi ancaman kepada PH, namun ujian terbesar PH adalah pemimpinnya yang menerajui tampuk pentadbiran kerajaan sekarang dalam memastikan PH terus tetap menjaga kepentingan rakyat pelbagai kaum.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, tidak ada tempat untuk Pas dan Barisan Nasional (BN) sekiranya PH terus menetapkan pendirian untuk sentiasa fokus kepada kepentingan rakyat pelbagai kaum menerusi usaha membangunkan negara dengan menyediakan kemudahan pendidikan serta kesihatan bermutu tinggi selain meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara dan mengurangkan pengangguran.

Menurutnya, gabungan UMNO-Pas bukanlah perkara baharu kerana sebelum ini kedua-dua parti berkenaan pernah bergabung dan bekerjasama pada 1969 sebelum Pas dikeluarkan daripada BN pada 1978.

"Sekarang ada percubaan baharu. Tetapi, kalau nak katakan kejutan tak betul sebab ini bukan ancaman kita. Bagi saya, ujian terbesar masih (pada) kita. Kalau kerajaan Sabah dan kerajaan Persekutuan tetap dengan pendirian dengan dasar menjaga kepentingan rakyat, saya yakin tidak ada tempat untuk Pas dan BN," katanya. - Bernama