Komitmen kerajaan terhadap agenda antirasuah berhasil

Abu Kassim ketika sidang media pada Forum Anti Rasuah dan Integriti 2019 hari ini. - Foto Bernama
Abu Kassim ketika sidang media pada Forum Anti Rasuah dan Integriti 2019 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Komitmen Pakatan Harapan (PH) yang memberi tumpuan kepada agenda antirasuah sebagai salah satu keutamaannya telah menunjukkan penambahbaikan positif.

Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, ini dapat dilihat berdasarkan kajian dan indeks antarabangsa yang menunjukkan peningkatan petunjuk prestasi Malaysia.

"Komitmen kerajaan hari ini untuk meletakkan agenda antirasuah sebagai salah satu keutamaannya telah menampakkan berapa hasil," katanya dalam ucapan khasnya semasa Forum Anti Rasuah dan Integriti 2019 di sini hari ini.

Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berkata, ini dapat dilihat dalam Kajian Persepsi Rasuah SPRM Siri 13/2018 mengenai persepsi rakyat mengenai kesungguhan kerajaan untuk memerangi rasuah telah meningkat 11 peratus daripada 59.8 peratus pada 2016 kepada 70.8 peratus tahun lepas.

“Berdasarkan petunjuk antarabangsa, Malaysia juga telah mencatatkan peningkatan dalam beberapa kajian penting atau indeks seperti Edelsmann Trust Barometer Global menunjukkan tahap keyakinan orang ramai terhadap kerajaan telah meningkat kepada 60 peratus tahun ini berbanding 46 peratus pada 2018,” katanya.

Beliau berkata, Laporan Pemantauan Tadbir Urus Korporat menunjukkan Malaysia telah melonjak tiga anak tangga daripada tempat ketujuh pada 2016 ke tempat keempat pada 2018 daripada 12 negara Asia Pasifik.

"Indeks Demokrasi 2019 oleh Unit Perisikan Ekonomi (EIU) menunjukkan Malaysia kini berada di tangga ke-52 daripada 165 negara, berada di kedudukan ke-14 mendahului Singapura yang menduduki ranking ke-66.

Forum bertemakan 'Embedding Integrity the Cornerstone of Good Governance' dianjurkan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan kerjasama Aram Global Sdn Bhd. - Bernama

Artikel Berkaitan: