Suatu Ketika, karya sempurna

No Image Caption
A
A
A

TANPA pelakon popular, tanpa latar belakang kehidupan mewah, tapi punya sebuah cerita yang boleh dipertaruhkan untuk menarik perhatian penonton di pawagam.

Begitulah yang dapat penulis simpulkan mengenai filem Suatu Ketika, yang sudah pun menemui penonton di pawagam sejak 12 September lalu.

Jika anda mengukur hebatnya filem ini hanya melalui poster dan penglibatan para pelakon, maka anda silap besar.

Filem yang diarahkan oleh Prakash Murugiah itu merupakan gabungan adaptasi daripada beberapa kisah benar mengenai impian 12 budak lelaki, berusia 12 tahun yang mencuba sedaya upaya untuk memastikan pasukan bola sepak mereka yang ditubuhkan oleh seorang tukang kebun serta seorang guru berjaya.

Mereka perlu bersaing dengan pasukan dari sekolah berprestij British, St James, untuk layak ke perlawanan JG Davidson Cup.

Pelbagai kejadian menarik berlaku yang pasti akan membuatkan anda terpaku untuk menyaksikan perjalanan kumpulan bola sepak dari Sekolah Ujong Pasir sewaktu bersaing menjadi sekolah Melayu pertama layak ke pertandingan akhir kejohanan itu.

Menampilkan Namron dan Pekin selaku teraju utamanya, filem itu juga turut dibintangi 12 bakat baharu seperti Danial Akmal Fariz, Putera Syazwan, Dheva Naish, Danial Iman, Kuhan Divagaran, Farez Iqmal, Ahmas, Lim Xuan, Adeq Jiey, Azlan Raihan, Daniel Syahidan dan Armand, dengan kebanyakan daripada pelakon cilik tersebut berlakon buat pertama kali.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Walaupun kali pertama, penulis melihat mereka tampil dengan lakonan yang cukup bersahaja dan baik.

Tarikan utama filem itu adalah mengenai keharmonian hidup antara kaum yang berbeza di Malaysia. Dalam kita menyambut Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, filem itu muncul tepat pada waktunya.

Gaya penceritaan yang santai, disulami dengan aksi bersahaja pelakon cilik yang terlibat serta mesej-mesej yang diselit membuatkan kita tidak terasa filem itu meleret atau terlalu lama.

Bukan sahaja bagus dari segi jalan cerita dan lakonan, penulis juga memuji kerja-kerja teknikal membabitkan sinematografi, suntikan warna yang sangat cantik di dalam filem berkenaan.

Bagi mereka yang sudah berusia 30 atau 40 tahun, filem Suatu Ketika secara tidak langsung akan mengimbau kenangan anda ketika di bangku persekolahan.

Secara keseluruhan, penulis melihat Suatu Ketika sebagai sebuah filem yang sempurna untuk ditonton.

Pengarah: Prakash Murugiah

Pelakon: Namron, Pekin Ibrahim, Danial Akmal Fariz, Putera Syazwan, Dheva Naish, Danial Iman, Kuhan Divagaran, Farez Iqmal, Ahmas, Lim Xuan, Adeq Jiey, Azlan Raihan, Daniel Syahidan dan Armand.

Genre: Drama / Sejarah / Sukan

Durasi: 1 Jam 34 Minit

Klasifikasi: U

Tayangan: 12 September 2019