Tubuh jawatankuasa siasatan bebas siasat kematian pelajar kerana TB

Ibu Carmen, Vivian Teoh menceritakan tentang kematian anaknya kepada Boon Chye tadi.
A
A

GEORGETOWN- Kementerian Kesihatan akan menubuhkan jawatankuasa siasatan bebas bagi menyiasat kematian pelajar, Carmen Yee, 19, akibat jangkitan TB atau Tuberculosis di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini.

Carmen adalah pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Heng Ee meninggal dunia pada 27 Ogos lalu selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP pada 23 Ogos.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, siasatan itu antara lain bertujuan melihat sama ada wujud aspek kecuaian ketika rawatan sehingga menyebabkan kematian.

Menurutnya, tarikh penubuhan jawatankuasa yang terdiri daripada panel luar itu mungkin memakan masa dua minggu.

"Kita memerlukan masa untuk mengumpul panel yang terlibat. Selepas penubuhannya, mungkin dalam tempoh sebulan hingga dua bulan selepas itu baru kita memulakan siasatan.

"Siasatan bebas ini akan melibatkan pakar dari negeri lain. Jadi memerlukan semua yang terlibat mempunyai masa yang sesuai sebelum boleh dimulakan," katanya pada sidang media di HPP di sini tadi.

Beliau berkata, ujian saringan ke atas 376 kontek yang terlibat dengan Carmen termasuk tiga ahli keluarganya telah dijalankan.

"Kontek yang kita jalankan saringan antaranya rakan sekolah, guru dan warga sekolah lain. Hasilnya, tidak ada seorang pun daripada mereka yang dikesan mempunyai kuman TB yang aktif.

"Hanya 33 daripada mereka didapati mempunyai TB Laten apabila dijalankan ujian Mantoux iaitu ujian pada kulit. Mereka ini akan menjalani ujian susulan iaitu ujian darah sehingga dua tahun untuk pemantauan. TB Laten ini tidak berbahaya dan tidak berjangkit," katanya.

Boon Chye berkata, 33 individu tersebut menunjukkan pernah terdedah kepada kuman dan perlu diberikan rawatan yang tidak tinggi tahap ubatnya.

"Rawatan kepada mereka ini lebih kepada 'preventive treatment'. Keputusan ujian saringan itu menunjukkan situasi penyakit TB terkawal serta tidak membimbangkan.

"Oleh itu, saya menasihatkan pihak sekolah tidak panik kerana saringan telah dijalankan terhadap kontek sedia ada dan tiada risiko untuk penyakit itu merebak dalam kalangan mereka," katanya.