'Pekida orang baik-baik'

Ramli (empat, kiri, duduk) bergambar kenangan bersama kepimpinan PEKIDA yang hadir pada majlis tersebut.
Ramli (empat, kiri, duduk) bergambar kenangan bersama kepimpinan PEKIDA yang hadir pada majlis tersebut.
A
A
A

KOTA BHARU – Pemangku Presiden Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), Datuk Ramli Norani menafikan ada ahli pertubuhan itu bersikap ‘tidak baik’ dengan masyarakat sebelum ini.

Menurutnya, sejak bergiat aktif dengan Pekida, beliau tidak pernah mendengar rungutan daripada mana-mana pihak mengenai salah laku atau perkara negatif melibatkan ahli pertubuhan itu.

“Pekida semuanya baik, saya tengok semua baik. Yang kata Pekida tidak baik itu adalah mereka yang tidak tahu apa itu Pekida. Cukup baik, tidak ada masalah.

“Pertubuhan ini ditubuhkan bukan untuk mendatangkan masalah kepada masyarakat tetapi membantu masyarakat, kerajaan dan jaga negara. Sama juga dengan pertubuhan lain yang seangkatan.

“Kalau ada yang kata kami tidak baik, ada masalah dan sebagainya maknanya mereka tidak kenal kami,” katanya kepada Sinar Harian disini.

Beliau meluangkan masa bertemu ahli Pekida Kelantan pada Majlis Make Nasi Lemak di Gelanggang Seni, di sini, baru-baru ini.

Sebelum ini, wujud tanggapan masyarakat mengenai ahli Pekida samseng, tidak menghormati undang-undang dan sebagainya.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, Pekida adalah satu pertubuhan yang sepatutnya disertai pelbagai lapisan masyarakat dalam negara ini kerana melibatkan skop kekeluargaan yang cukup besar.

Artikel Berkaitan:

“Kenapa perlu takut untuk bersama Pekida. Kalau mahu buat kenduri kita bantu. Kalau kereta rosak tepi jalan, beritahu saja di mana berada kita akan gerakkan ahli keluarga bantu ahli-ahli ini. Susah senang kita bersama demi negara tercinta.

“Tiada isu pun mengatakan kami ini tidak baik, tergolong dalam kumpulan negatif. Kalau ada hanya satu saja saya mahu beritahu, mengucaplah. Itu sahaja yang mampu saya beritahu. Sebab kami bukan orang jahat,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini, Pekida mempunyai 200,000 ahli berdaftar di seluruh negara dan aktif melakukan pelbagai aktiviti termasuk menjaga kebajikan ahli daripada pelbagai lapisan masyarakat.