FOMCA sambut baik tarif elektrik ikut waktu

Mohd Yusof
Mohd Yusof
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyambut baik usaha kerajaan sekiranya pengguna elektrik bagi sektor domestik dikenakan tarif berbeza mengikut waktu penggunaan.

Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, pengguna akan mempunyai pilihan apabila Tenaga Nasional Bhd (TNB) memperkenalkan mekanisme harga yang berubah-ubah.

"FOMCA menyambut baik kaedah tersebut yang bermaksud pengguna diberikan pilihan. Pengguna boleh menggunakan penggunaan elektrik di luar waktu puncak seterusnya dapat berjimat," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pengguna elektrik bagi sektor domestik akan dikenakan tarif berbeza mengikut waktu penggunaan, apabila TNB dijangka memperkenalkan mekanisme harga berubah-ubah bermula suku pertama 2021.

Menerusi mekanisme itu, penggunaan elektrik pada waktu puncak iaitu antara jam 12 tengah hari hingga 6 petang akan dikenakan tarif lebih tinggi berbanding penggunaan di luar waktu puncak.

Pengguna pada masa ini dikenakan tarif secara purata mengikut jalur penggunaan. Kadar tarif asas kini adalah 39.45 sen per kilowatt jam (kWh).

Bagi jalur penggunaan 200kWh pertama, kadar tarif ialah 21.80 sen/kWh; bagi jalur 201-300kWh, kadarnya ialah 33.40 sen manakala bagi jalur 301-600kWh ialah pada 51.60 sen bagi setiap kWh.

Mekanisme itu adalah antara penyelesaian inovatif dirumus di bawah inisiatif Industri Bekalan Elektrik Malaysia (MESI) 2.0, yang memberi peluang kepada rakyat menggunakan elektrik pada tarif lebih rendah di luar waktu puncak berdasarkan tempoh masa guna tenaga (Enhanced Time of Use, ETOU).

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, TNB kini melaksanakan skim EToU kepada pelanggan komersial dan industri yang dikenakan kadar tarif berbeza mengikut tiga zon waktu guna iaitu waktu puncak, pertengahan puncak dan di luar puncak.

Sehubungan itu, Mohd Yusof meminta pengguna untuk merebut peluang mendapatkan penjimatan guna tenaga dengan mengubah sikap mereka menggunakan elektrik pada waktu tarif yang rendah.