Bacaan IPU Sri Aman hampiri 400, tahap bahaya

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Indeks Pencemaran Udara (IPU) Sri Aman, Sarawak semakin meningkat dengan bacaan di tahap berbahaya menghampiri 400 setakat jam 6 petang tadi iaitu meningkat kepada 389, berbanding 300 yang dicatatkan pada pukul 2.00 petang tadi.

Selaras dengan itu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan pengisytiharan darurat sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara di Sri Aman melebihi 500.

Begitu juga berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Kuching masih berada pada tahap IPU sangat tidak sihat dengan bacaan 213 diikuti Johan Setia Klang, Selangor iaitu 231.

Nilai, Negeri Sembilan merekodkan bacaan 206 manakala Seri Manjung di Perak menjadi lokasi terbaru sejak tengah hari tadi mencatatkan kualiti udara sangat tidak sihat iaitu 232 berbanding 183 pada pukul 9 pagi tadi.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Dalam perkembangan lain, Operasi Pembenihan Awan (OPA) akan dibuat di Sarawak pada atau selepas 19 Sept tertakluk kepada keadaan atmosfera, cuaca dan awan, kata Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

ARTIKEL BERKAITAN: Kabinet bincang jalan penyelesaian jerebu esok

Nadma dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan jerebu di Sarawak dan negeri-negeri lain serta Darurat Bencana Jerebu hanya dibuat apabila bacaan IPU melebihi 500.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, sebanyak 648 buah sekolah ditutup hari ini di seluruh negara berikutan keadaan jerebu dan bacaan IPU melebihi 200, kata Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini.

KPM dalam kenyataan berkata, daripada jumlah itu, 298 sekolah adalah sekolah kerajaan di Sarawak, Selangor (201), Putrajaya (25) dan Negeri Sembilan (112) yang membabitkan keseluruhan pelajar seramai 445,249 orang.

Sebanyak 12 sekolah swasta juga ditutup di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Cyberjaya dan Negeri Sembilan yang melibatkan 7,432 orang pelajar, menurut KPM.

Sementara itu Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata perbincangan dan penyelesaian mengenai masalah jerebu merentasi sempadan yang melanda negara akan dibuat dalam mesyuarat Kabinet esok.

Beliau berkata, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin juga dijangka membentangkan hasil laporan terkini mengenai keadaan jerebu sekarang ini.

“Pada mesyuarat Kabinet esok, saya pasti menteri (Yeo) akan beri laporan kepada Kabinet mengenai langkah seterusnya yang akan diambil dan Kementerian Luar akan membantu dalam perkara itu,” katanya pada sidang media selepas melancarkan program pertukaran sukan Bola Keranjang Malaysia-China di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, Wisma Putra juga telah berhubung secara rasmi dengan kerajaan Indonesia mengenai fenomena jerebu sekarang.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan tentang perbincangan dengan kerajaan Indonesia itu. - Bernama