Terengganu nafi guna aset kerajaan ke HPU

Gambar tular yang menunjukkan penyokong Pas di depan sebuah bas tertera perkataan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu. Gambar kecil: Satiful Bahri
Gambar tular yang menunjukkan penyokong Pas di depan sebuah bas tertera perkataan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu. Gambar kecil: Satiful Bahri
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu menafikan dakwaan Pas menggunakan kenderaan kerajaan bagi membawa penyokong parti ke Himpunan Penyatuan Ummah yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Sabtu lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, tiada arahan rasmi dikeluarkan supaya bas kerajaan negeri digunakan ke ibu negara sempena perhimpunan tersebut.

“Kerajaan negeri tidak keluarkan apa-apa arahan. Kita tidak guna aset kerajaan, biasa orang Pas mereka pergi sendiri saja. Jika mereka sewa bas itu, ia di luar pengetahuan saya.

“Kalau dia sewa itu hal jabatan masing-masing,” katanya selepas hadir merasmikan Kolokium bersama Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Timur (Terengganu, Kelantan, Pahang) Serta Rombongannya di Hotel Primula di sini hari ini.

Hadir sama, Speaker DUN Terengganu, Datuk Yahaya Ali; Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Abdullah Yaakub dan Yang Dipertua DUN Pahang, Datuk Seri Ishak Muhamad.

Satiful Bahri berkata demikian mengulas penularan sekeping gambar yang menunjukkan penyokong Pas di depan sebuah bas yang tertera perkataan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) ketika program penyatuan Pas dan UMNO di PWTC.

Penggunaan bas tersebut turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad yang mempersoalkan bas milik jabatan kerajaan disewakan kepada parti politik.

Menurut Satiful Bahri, beliau tidak menolak kemungkinan bas milik JHEAT itu disewa penyokong parti selepas bas persiaran sudah habis ditempah untuk ke himpunan yang menyaksikan dua parti utama negara bergabung.

Artikel Berkaitan:

“Kita dapat maklumat banyak kawasan DUN yang sewa bas, mungkin bas sudah habis,” katanya.