Bayi, nenek OKU nyaris maut rumah terbakar

Anggota bomba memadamkan kebakaran yang memusnahkan dua rumah di Kampung Melayu Majidee pagi tadi. - Foto Ihsan Bomba Johor
Anggota bomba memadamkan kebakaran yang memusnahkan dua rumah di Kampung Melayu Majidee pagi tadi. - Foto Ihsan Bomba Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang bayi lelaki berusia setahun enam bulan dan neneknya yang juga orang kurang upaya (OKU) nyaris maut dalam kebakaran dua buah rumah di Jalan Budiman, Kampung Melayu Majidee di sini pagi tadi.

Tindakan pantas jiran-jiran berjaya menyelamatkan mereka bersama seorang lagi mangsa lelaki berusia 26 tahun yang juga bapa saudara bayi tersebut.

Difahamkan ibu bayi tersebut sedang keluar bekerja ketika kejadian berlaku.

Menurut maklumat diterima, kebakaran bermula dari sebuah bilik di rumah sebelah yang didiami seorang lelaki.

Komander operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Saiful Bahri Safar berkata, semua mangsa berjaya diselamatkan orang awam sebelum pasukan tiba di lokasi kejadian.

"Kami terima panggilan kecemasan jam 9.58 pagi tadi dan setibanya pasukan bomba dan penyelamat di tempat kejadian didapati benar berlaku kebakaran.

"Kebakaran melibatkan dua buah rumah jenis separuh kekal iaitu berkeluasan 40 kaki x 70 kaki telah musnah 85 peratus dan sebuah lagi berkeluasan 20 kaki x 40 kaki telah musnah 75 peratus. Punca dan anggaran masih dalam siasatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau dibantu 11 anggota dari BBP Johor Bahru dengan empat buah jentera termasuk EMRS terlibat dalam operasi kali ini.

Operasi tamat jam 11.07 pagi tanpa sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Artikel Berkaitan: