APMM gagalkan cubaan seludup syabu

Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohammad Rosli
Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohammad Rosli
A
A
A

KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup dadah jenis methamphetamine (syabu) dengan anggaran nilai RM700,000 di perairan Batu Laut, Tanjung Sepat petang semalam.

Pengarah APMM Selangor, Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, dalam kejadian sekitar jam 5.30 petang itu, pasukan Tim Ronda yang melaksanakan pemantauan berjaya mengesan sebuah kenderaan bersama seorang lelaki berhampiran hutan bakau di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, lelaki terbabit cuba melarikan diri ke arah hutan bakau, manakala kenderaan terlibat cuba memecut untuk meninggalkan kawasan itu sebaik menyedari kehadiran anggota APMM.

"Hasil pemeriksaan lanjut di kawasan berkenaan membawa kepada penemuan sebuah beg berwarna hitam dan berjalur hijau pada jarak lebih kurang 50 meter dari jalan utama Banting-Port Dickson berhampiran kawasan gigi air Pantai Batu Laut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohammad Rosli berkata, hasil pemeriksaan di dalam beg berkenaan menemui 10 bungkusan teh berwarna hijau kuning yang mengandungi ketulan mampat hablur kristal dipercayai dadah jenis syabu seberat kira-kira 10 kilogram.

Katanya, semua bungkusan itu disita dan dibawa ke Ibu Pejabat APMM Selangor untuk siasatan lanjut di bawah Akta Dadah Merbahaya 1952.

"Hasil kerjasama APMM dan agensi penguat kuasa negara jiran akan terus diperkukuhkan bagi membanteras aktiviti penyeludupan dadah dengan lebih efektif melalui pertukaran maklumat risikan antara dua negara.

"APMM juga akan mempertingkatkan kawalan dan rondaan bagi mengekang penyeludupan dadah serta barangan terlarang lain," katanya.

Artikel Berkaitan: