Kadar permohonan perceraian di Selangor membimbangkan

Amirudin (dua dari kiri) pada sidang media selepas merasmikan Seminar Perdana Kesedaran Undang-undang Syariah, Pelancaran Dana Bantuan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga Negeri Selangor dan Sistem E-Locator di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini.
Amirudin (dua dari kiri) pada sidang media selepas merasmikan Seminar Perdana Kesedaran Undang-undang Syariah, Pelancaran Dana Bantuan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga Negeri Selangor dan Sistem E-Locator di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kadar permohonan perceraian orang Islam di Selangor berada pada paras agak membimbangkan iaitu sebanyak 24,063 kes pada 2017 hingga 2018.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, pasangan terlibat bukan sahaja terdiri daripada pasangan berusia, tetapi juga pasangan muda yang baru berumah tangga.

"Mahkamah Syariah Negeri Selangor merekodkan kadar perceraian dalam kalangan orang Islam yang tertinggi di Malaysia bagi tempoh melebihi lima tahun.

"Jumlah ini amat membimbangkan dan kita akan melihat lebih lanjut termasuk dari segi modul pra perkahwinan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir merasmikan Seminar Perdana Kesedaran Undang-undang Syariah, Pelancaran Dana Bantuan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga Negeri Selangor dan Sistem E-Locator di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini.

Menurut Amirudin, banyak faktor menyebabkan perkara itu berlaku antaranya tiada persefahaman dan lain-lain.

"Oleh itu kita akan mempertimbangkan untuk melakukan penambahbaikan dalam kursus perkahwinan melibatkan beberapa aspek sebelum dan selepas perkahwinan.

"Keadaan ini tidak boleh dipandang ringan kerana jika tidak ditangani dengan serius, saya bimbang masalah ini akan mengganggu agenda kemajuan Selangor yang telah disusun secara strategik demi kemaslahatan dan kebaikan rakyat keseluruhannya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Amirudin menambah, kerajaan negeri akan berusaha mengatasi masalah itu dengan mewujudkan usaha bagi membaik pulih institusi kekeluargaan di Selangor.

"Melalui Strategi Kedua Belanjawan Negeri Selangor 2019 iaitu Penjajaran Inisiatif Peduli Rakyat daripada pemberian kepada pemberdayaan telah memanfaatkan Insentif Perkahwinan Belia dalam bentuk lebih praktikal iaitu pelaksanaan kursus perkahwinan dan kekeluargaan yang lebih komprehensif kepada pasangan baharu.

"Kursus ini akan merangkumi isu-isu seperti pengurusan kewangan, pengurusan emosi dan spiritual, pengurusan penjagaan anak serta pengurusan keluarga secara keseluruhan," katanya.