X

Kindly register in order to view this article
!

FGV tiada maklumat anak syarikat terlibat

Gambar arkib kejadian kebakaran hutan di lima daerah di Indonesia. - Foto AFP
A
A

KUALA LUMPUR - FGV Holdings Bhd belum menerima sebarang laporan mengenai penglibatan anak syarikatnya dalam pembakaran terbuka di Indonesia yang mengakibatkan jerebu di rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, pihaknya tidak boleh mengatakan sama ada terlibat atau tidak dengan pembakaran terbuka di Indonesia selagi belum menerima data berkenaan.

“Selagi kita belum menerima data itu, kami tidak boleh mengatakan (perbuatan) itu berlaku atau tidak.

"Setakat ini kita tidak mempunyai laporan mengenai perkara itu, namun sudah pasti berada di Indonesia adalah agak rumit kerana kita mempunyai (Perkebunan) Inti (Rakyat) dan Plasma (Program Transmigrasi) dan beberapa pekebun kecil di sekitar ladang luas itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama di antara anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd (DOP) dan DKSH (Malaysia) Sdn Bhd hari ini.

Perkebunan Inti Rakyat merupakan skim usaha sama antara syarikat dan pekebun kecil, manakala Program Transmigrasi Plasma melibatkan petani yang mengambil bahagian dalam program yang diwujudkan kerajaan Indonesia.

Terdahulu, Haris berkata, FGV mewujudkan syarikat usaha sama perladangan kelapa sawit dengan Lembaga Tabung Haji di Kalimantan Tengah, Kalimantan Utara, Kalimantan Barat dan Pontianak.

Mengenai jerebu, Ketua Pegawai Operasi Sektor Perladangan dan Ketua Kluster Huluan Sawit FGV, Syed Mahdhar Syed Hussain berkata, bencana itu boleh memberi kesan kepada kadar pengekstrakan minyak FGV bagi Oktober.

"Harga minyak sawit mentah semasa adalah kira-kira RM2,100 atau lebih bagi setiap tan. Jika saya bercakap mengenai lima tan (pengekstrakan) tanaman untuk meraih satu tan minyak, jadi ia melibatkan kira-kira 20 peratus.

“Jadi, jika anda melihat dari segi peratusan, kesannya ialah kepada kadar peratusan terhadap jumlah tandan buah segar (yang) saya boleh ekstrak, ia berkemungkinan memberi kesan 0.2 peratus hingga 0.5 peratus dan melibatkan peratusan yang tinggi,” katanya kepada pemberita selepas program itu.

"Bagaimanapun, ia tidak memberi kesan ke atas keuntungan FGV," katanya.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif DOP, Shammim Azad Kamruzaman berkata, kerjasama dengan DKSH itu dijangka memperkukuh pengedaran produk hiliran FGV di sektor Hotel/Restoran/Kafe (HoReCa).

DOP menjangka kerjasama itu akan membantu menjadikan pengeluarannya dua kali ganda yang pada masa ini pada purata RM3 juta sebulan, dalam tempoh setahun.

Sebagai penggiat sektor pengedaran barangan pengguna mudah laris (FMCG) berpangkalan di Malaysia, DOP menghasilkan dan menjual jenama terkemuka seperti Saji, Seri Pelangi dan Adela, manakala DKSH merupakan penyedia perkhidmatan pengembangan pasaran terkemuka bagi FMCG yang memberi tumpuan kepada Asia.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!