Muhyiddin bangkitkan semula pengecualian visa AS buat rakyat Malaysia

Muhyiddin -Foto Bernama
Muhyiddin -Foto Bernama
A
A
A

WASHINGTON DC - Malaysia membangkitkan semula tentang program pengecualian visa buat rakyatnya yang ingin berkunjung ke Amerika Syarikat dengan pihak berkuasa negara itu.

Ini dilakukan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dalam pertemuan dengan Pemangku Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat, Kevin McAleenan.

Muhyiddin berkata, beliau turut membangkitkan supaya perkara itu dipanjangkan ke peringkat lebih tinggi pentadbiran Amerika Syarikat dan berharap ia diangkat sehingga ke peringkat presiden negara itu sendiri untuk kelulusan.

"McAleenan telah bersetuju supaya ia dibawa ke peringkat lebih tinggi atas permohonan saya, tetapi sebelum itu ialah (masa) untuk kita mengambil kira perkara-perkara yang setakat ini menjadi penghalang iaitu kriteria dan syarat-syarat tambahan yang dikenakan," katanya kepada Bernama mengenai hasil pertemuan itu.

Perjumpaan berkenaan dan lawatan ke Pusat Saringan Pengganas (TSC) yang turut berlangsung hari ini merupakan antara pengisian lawatan kerja Muhyiddin ke Washington DC bertujuan mengukuhkan jalinan kerjasama di bidang keselamatan antara kedua-dua negara.

Muhyiddin seterusnya berkata, susulan itu, beliau mengemukakan cadangan supaya dibentuk sebuah jawatankuasa khas atau pasukan petugas dianggotai wakil dari Malaysia dan Amerika Syarikat untuk duduk bersama meneliti satu persatu perkara atau syarat yang dikatakan menjadi penentu.

"Kita akan susul selepas ini untuk berbincang dengan lebih lanjut di peringkat pegawai bagaimana badan itu dapat dibentuk," kata menteri itu yang tiba di sini pada Ahad sebelum meneruskan lawatan kerja itu di New York bermula Rabu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, tempoh masa atau 'timeline' yang agak munasabah perlu ditetapkan untuk memuktamadkan perkara itu.

Artikel Berkaitan:

"Kalau tak boleh setahun mungkin dua tahun. Tapi kalau dia (pihak Amerika) kata lebih lama, maka kita kena pastikan kenapa perlu (tempoh) lebih lama.

"Kalau lebih lama bermakna rakyat Malaysia yang nak berkunjung ke Amerika Syarikat terpaksa menggunakan visa sedangkan banyak negara lain yang kita (rakyat Malaysia) boleh kunjungi tanpa memerlukan visa," kata Muhyiddin.

Beliau menarik perhatian bahawa rakyat Malaysia kini perlu mendapatkan visa untuk memasuki Amerika Syarikat untuk tujuan seperti pelancongan, perdagangan dan perniagaan.

Muhyiddin menjelaskan perkara lain yang dibincangkan bersama McAleenan ialah soal keganasan, ‘counter-terrorism’, pemerdagangan manusia dan isu migran.

Turut disentuh ialah aspek pertukaran maklumat dengan matlamat untuk meningkatkan keselamatan Malaysia dan untuk faedah Amerika Syarikat sendiri.

Berhubung lawatannya ke TSC, Muhyiddin berkata, kerjasama yang terjalin sejak 2015 antara pihak berkuasa Malaysia dan pusat itu membolehkan perkongsian maklumat dilakukan demi menjaga keselamatan kedua-dua negara. - Bernama