Syabu bernilai RM1.4 juta dirampas di Yan

Zainuddin (dua dari kiri) menunjukkan dadah jenis syabu yang diletakkan di dalam bagi mengaburi pihak berkuasa.
Zainuddin (dua dari kiri) menunjukkan dadah jenis syabu yang diletakkan di dalam bagi mengaburi pihak berkuasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Kira-kira 28.8 kilogram (kg) dadah jenis syabu yang diletakkan di dalam 28 bungkusan teh Cina bernilai RM1.4 juta berjaya dirampas polis di sebuah homestay di Yan pada jam 1 pagi, Ahad lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya percaya dadah tersebut dibawa oleh sindiket dipercayai kumpulan kongsi gelap 35 dari negara jiran ke daerah tersebut yang juga kawasan luar bandar bagi mengaburi pihak berkuasa.

Menurutnya, dadah yang mampu memenuhi permintaan kira-kira 56,000 penagih itu dipercayai untuk pasaran di Kedah seperti daerah Kuala Muda, Kulim, Alor Setar dan Kubang Pasu.

"Bertindak atas maklumat, dua lelaki telah ditahan semasa menaiki sebuah kereta pada pagi Ahad lalu, namun sebelum itu berlaku pergelutan dalam usaha mereka melarikan diri.

"Hasil pemeriksaan di kereta menjumpai 28 bungkusan plastik warna kuning yang diletakkan di tempat letak kaki penumpang bahagian belakang sebelah kanan dan kiri.

"Di dalam plastik tersebut terdapat serbuk dan ketulan yang disyaki dadah jenis syabu," katanya pada sidang akhbar di Pusat Media Ibu Pejabat Kontinjen Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata, mengikut maklumat dadah tersebut dibawa dari Kuala Lumpur selepas berjaya melepasi pintu masuk ke negara ini, namun pihaknya berjaya mematahkan operasi sindiket itu hasil maklumat orang ramai.

Zainuddin berkata, pihaknya membuat tangkapan kedua pada jam 2.15 pagi pada hari sama apabila menahan sebuah kereta yang memasuki homestay itu dengan menangkap dua lelaki.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pada lebih kurang jam 4 pagi pula, dua buah kereta memasuki kawasan homestay tersebut dan polis menyerbu dan menangkap dua lagi lelaki.

"Berlaku juga sedikit pergelutan dan suspek mengalami kecederaan di bahagian tangan, kepala dan muka manakala empat lagi suspek berjaya melarikan diri dengan kedua-dua kereta itu.

"Keenam-enam lelaki yang berumur 19 hingga 28 tahun itu tidak mempunyai pekerjaan tetap telah ditangkap untuk siasatan lanjut.

"Hasil saringan awal urin semuanya didapati negatif dan hasil semakan rekod pula mendapati tiga orang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan jenayah di bawah Seksyen 148 kanun keseksaan, Seksyen 186 kanun keseksaan dan Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966," katanya.

Katanya, semua suspek ditahan reman selama 7 hari bermula 15 September sehingga 21 September dan siasatan dijalankan di bawah Akta Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan boleh dihukum gantung.

Dalam perkembangan lain, Zainuddin berkata, berlaku peningkatan tangkapan kesalahan pelbagai jenis dadah di Kedah iaitu sebanyak 34 peratus bermula Januari sehingga 16 September tahun ini berbanding tahun lalu sekaligus membuktikan pihaknya serius dalam membanteras masalah dadah.

Dadah jenis syabu dengan berat kira-kira 28.8 kilogram bernilai RM1.4 juta yang dirampas di sebuah homestay di Yan pada Ahad lalu.
Dadah jenis syabu dengan berat kira-kira 28.8 kilogram bernilai RM1.4 juta yang dirampas di sebuah homestay di Yan pada Ahad lalu.