X

Kindly register in order to view this article
!

Kebakaran hutan: Jokowi gesa ambil tindakan tegas

Anggota bomba kini berhempas-pulas mengawal kebakaran hutan di Kampar. - Foto: AFP
A
A

JAKARTA - Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi mengarahkan tindakan tegas diambil ke atas individu dan syarikat yang bertanggungjawab ke atas kebakaran hutan dan kawasan pertanian yang telah menyebabkan sebahagian besar Asia Tenggara kini diselubungi jerebu toksik.

Keputusan itu dibuat ketika beliau menyemak langkah bagi menangani krisis ketika mesyuarat Kabinet di Pekanbaru di Riau yang menjadi kawasan paling teruk terjejas lewat semalam.

Beliau turut mengarahkan agensi mitigasi bencana supaya memperluaskan skop pembenihan awan dan mengerah anggota tambahan tentera serta bomba.

Asap tebal akibat aktiviti pembakaran itu kini memberi kesan kepada wilayah barat dan tengah Indonesia selain ribuan dilaporkan mengalami penyakit pernafasan akut.

Titik panas yang semakin meningkat mencetuskan kebimbangan krisis jerebu pada 2015 yang menjejaskan 2.6 juta hektar kawasan tanah dan kerugian ekonomi berjumlah 221 trilion Rupiah (RM65.5 bilion) mungkin akan berulang.

Sehingga hari ini, rekod jumlah titik panas mencecah 2,984 berbanding 2,583 semalam selain hampir 1,000 kebakaran direkodkan dengan keadaan cuaca kering diramalkan berterusan di rantau selatan Asia.

Data Agensi Mitigasi Bencana Nasional menunjukkan titik panas tersebut telah menjejaskan 328,724 hektar hutan dan kawasan pertanian pada tahun ini.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa telah menahan kira-kira 185 individu atas kejadian kebakaran hutan dan kawasan pertanian di seluruh negara yang telah menyebabkan jerebu toksik dan tahap kualiti udara berada pada tahap bahaya.

Difahamkan, empat syarikat turut disiasat selepas kejadian jerebu itu kembali mencetuskan konfrontasi serantau berikutan ia kini merebak di Singapura dan Malaysia. - Agensi


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!