APM NS sumbang 230,000 topeng muka

Fazlisyah menyampaikan topeng muka kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan hari ni.
A
A

SEREMBAN - Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Sembilan menyumbangkan sebanyak 230,000 unit topeng muka kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan untuk diedarkan ke seluruh sekolah bagi mengurangkan risiko akibat jerebu.

Pengarah APM Negeri Sembilan, Leftenan Kolonel (PA) Fazlisyah Muslim berkata, pihaknya membuat permohonan mendapatkan topeng muka kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk membantu seluruh sekolah di negeri ini.

Katanya, jerebu dijangka berterusan sehinggalah arah tiupan angin berubah pada Oktober nanti.

"Menurut maklumat yang diterima, kebakaran yang berlaku di Sumatera telah menyebabkan jerebu sehingga ke Negeri Sembilan.

"Arah tiupan angin negara sekarang ini di bawah Monsun Barat Daya yang akan berterusan sehingga hujung September dan kita harap selepas perubahan tiupan arah angin ke Monsun Timur Laut pada Oktober nanti, jerebu akan menghilang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan topeng muka sumbangan APM Negeri Sembilan melalui Nadma di pekarangan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dekat sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Swasta dan Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Mohammad Nek Ezar Ismail.

Dalam pada itu, Fazlisyah berkata, aktiviti pembenihan awan yang dilakukan tengah hari semalam berjaya menurunkan hujan di beberapa kawasan di sekitar Seremban, Melaka, Johor dan Lembah Klang.

Katanya, walaupun jumlah hujan tidak banyak tetapi usaha itu membantu mengurangkan jerebu di beberapa kawasan.