Bilangan pesakit terima rawatan akibat jerebu meningkat 30 peratus

Nor Fariza
Nor Fariza
A
A
A

PUTRAJAYA - Bilangan pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan di seluruh negara meningkat antara 20 sehingga 30 peratus berikutan jerebu yang melanda negara.

Ketua Perkhidmatan Oftalmologi Kementerian Kesihatan, Dr Nor Fariza Ngah berkata, kebanyakan pesakit dikesan mengalami alahan konjunktivitis atau radang pada mata.

Katanya, peratusan itu diperoleh menerusi rekod rawatan pesakit luar di kesemua 42 hospital di bawah Kementerian Kesihatan sejak berlaku jerebu.

"Kebanyakan pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik mata lebih kepada alahan konjunktivitis. Ia tidak berjangkit tetapi menyebabkan ketidakselesaan akibat berair dan gatal.

"Kategori usia pesakit yang menerima rawatan pesakit luar akibat alahan ini terdiri daripada kanak-kanak dan dewasa.

"KIta nasihatkan orang ramai tidak melakukan aktiviti luar terutama pesakit asma yang berpotensi tinggi untuk terkena penyakit," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Hari Keselamatan Pesakit Dunia Yang Pertama dan Seminar Keselamatan Pesakit di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: IPU Sri Aman capai tahap bahaya kerana hampir dengan Kalimantan: JAS

Nor Fariza yang juga Pakar Perunding Mata Hospital Shah Alam berkata, peningkatan ketara berlaku di hospital tempatnya bertugas menerima 80 pesakit sehari berbanding 40 sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Kebanyakan pesakit yang mendapatkan rawatan di sini (Hospital Shah Alam) juga terdiri daripada kanak-kanak dan dewasa. Kita juga nasihatkan jika ada tanda gatal atau mata berair supaya mendapatkan rawatan di klinik berdekatan bagi mengelakkan kesan lebih buruk," katanya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu, semua hospital dan klinik di seluruh negara juga bersedia menerima peningkatan jumlah pesakit.

"Selain itu, kementerian akan sentiasa membuat hebahan di laman sosial untuk memberi maklumat terkini berkaitan jerebu kepada orang ramai," katanya.

Dzulkefly ketika bercakap pada sidang media di Putrajaya hari ini
Dzulkefly ketika bercakap pada sidang media di Putrajaya hari ini