Dua beradik warga India didakwa bunuh suami isteri

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Dua beradik warga India dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh sepasang suami isteri bulan lepas.

Sagar Sharma, 24, dan Shubham Sharma, 19, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua lelaki itu kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kedua-dua beradik yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu didakwa telah membunuh dengan menyebabkan kematian Lim Ah Kee @ Lim Kok Hoe, 79, dan Tan Siew Mee, 52, di sebuah rumah di Jalan USJ 21/10, di USJ 21, di sini antara pukul 8 malam, 23 Ogos dan 3.20 pagi, 24 Ogos lepas.

Mereka yang memakai kemeja-T hitam didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 18 November untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Gerard Lazarus dan Gabriel Susayan.

Media sebelum ini melaporkan, mayat pasangan suami isteri itu ditemukan di dalam beg pakaian yang dibuang di dalam longkang di dua lokasi berasingan dan susulan itu, polis menahan dua pengawal keselamatan yang dipercayai penyewa bilik rumah pasangan suami isteri terbabit. -Bernama

Artikel Berkaitan: