Serangan dron: Korea Selatan pertimbang guna minyak rizab

-Foto Worldatlas.com
-Foto Worldatlas.com
A
A
A

SEJONG - Korea Selatan akan mempertimbang untuk menggunakan minyak rizab strategiknya jika berlaku gangguan bekalan susulan serangan dron ke atas fasiliti pemprosesan minyak di Arab Saudi, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan seorang pegawai kanan hari ini.

Minyak rizab gabungan yang dipegang oleh kerajaan Korea Selatan dan penapis tempatan berjumlah 200 juta tong pada 2018.

Naib Menteri Ekonomi dan Kewangan, Kim Yong Beom dalam satu mesyuarat dengan pegawai berkaitan di pusat bandar Seoul berkata, kerajaan akan bertindak pantas melaksanakan langkah-langkah untuk menstabilkan bekalan dan permintaan jika berlaku gangguan bekalan minyak.

Arab Saudi telah bertindak menggantung kira-kira separuh daripada pengeluaran minyaknya susulan beberapa siri serangan dron pada Sabtu lalu yang merosakkan dua loji utama.

Sekumpulan pemberontak Yaman telah mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan itu.

Arab Saudi berkata, penggantungan itu akan membabitkan sejumlah 5.7 juta tong minyak mentah sehari, kira-kira lima peratus daripada pengeluaran minyak harian dunia.

Kim berkata, Korea Selatan akan mencari sumber alternatif minyak import dalam rundingan dengan penapis tempatan jika perlu.

Serangan itu bagaimanapun tidak akan menyebabkan sebarang gangguan besar ke atas import minyak Korea Selatan dari Arab Saudi dan mungkin mempunyai kesan yang terhad kepada ekonomi Korea Selatan.

Artikel Berkaitan:

Arab Saudi adalah pembekal utama minyak kepada Korea Selatan.

Menurut data Persatuan Petroleum Korea, tahun lepas Korea Selatan mengimport sejumlah 323 juta tong minyak mentah dari Arab Saudi yang menyumbang hampir 30 peratus daripada jumlah keseluruhan import bahan itu.

Kim berkata, kerajaan akan memantau rapat harga minyak kerana terdapat kemungkinan bahawa situasi itu akan berlanjutan susulan ketidakstabilan di Timur Tengah.

Penapis Korea Selatan telah mengimport minyak mentah Arab Saudi di bawah kontrak jangka panjang, dan Arab Saudi berjanji untuk mencegah masalah dalam pembekalan minyak mentah menerusi rizabnya.

S-Oil Corp, yang memperoleh kebanyakan minyak mentah daripada pemegang saham nombor satu Arab Saudi iaitu Aramco berkata, gangguan bekalan tidak mungkin berlaku memandangkan minyak rizab syarikat itu disimpan di beberapa negara lain seperti Belanda dan Jepun.- Bernama