Militan halang orang awam tinggalkan Idlib

Orang awam di Idlib turut menjadi mangsa serangan udara tentera Syria dan Rusia yang kononnya menyasarkan kedudukan militan di wilayah tersebut.
A
A

DAMSYIK - Kumpulan militan Jabhat al-Nusra di Syria didakwa menghalang orang awam awam daripada meninggalkan wilayah Idlib menerusi koridor Abu al-Duhur, lapor media rasmi kerajaan.

Agensi berita rasmi SANA melaporkan, laluan berkenaan dihalang kumpulan terbabit sejak empat hari lalu.

Tentera Syria menyediakan laluan tersebut bagi memudahkan orang awam meninggalkan Idlib dengan selamat.

Terdapat laporan bahawa puak pemberontak menggunakan orang awam sebagai perisai manusia bagi menghalang serangan udara tentera Syria yang disokong Iran dan Rusia.

Idlib kekal satu-satunya wilayah yang dikuasai pemberontak selepas perang saudara selama lapan tahun di Syria.

Pada 5 Ogos lalu, tentera Syria mengisytiharkan operasi tentera besar-besaran terhadap militan di Idlib selepas mereka mencabuli perjanjian gencatan senjata di zon penampan yang dimeterai Rusia dan Turki.

Menerusi perjanjian itu, pemberontak berjanji untuk berundur dari zon bebas tentera tersebut bersama senjata berat mereka. - Agensi