X

Kindly register in order to view this article
!

Bengkel jahitan pelajar OKU musnah terbakar

Api marak dalam kejadian kebakaran di bengkel jahitan PDK Kampung Baharu, Besut awal pagi tadi. -Foto Bomba
A
A

KUALA TERENGGANU - Bengkel jahitan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kampung Baharu, Besut hangus dijilat api dalam kebakaran awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Mohamad Jusoh berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.20 pagi itu menyebabkan 90 peratus premis itu musnah.

Katanya, seramai 17 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan.

"Waktu tiba di lokasi kejadian, api sedang marak membakar premis berkenaan. Pihak bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengawal kebakaran dan ia berjaya dikawal sepenuhnya jam 5.25 pagi," katanya.

Katanya, peralatan pembelajaran termasuk mesin jahit juga musnah dalam kebakaran itu.

Bagaimanapun, katanya, punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, saksi awal kejadian, Tengku Kamariah Tengku Leh, 61, berkata, dia menyedari kejadian yang berlaku di sebelah rumahnya itu kira-kira jam 4.10 pagi.

"Saya terjaga jam 3.30 pagi untuk solat sunat, masa tu memang tak ada nampak api di situ. Selang setengah jam lebih, saya terdengar bunyi ranting kayu patah.

"Apabila buka tingkap bilik, dalam jarak 20 kaki saya nampak macam ada api kecil dari luar premis PDK tu. Saya segera beritahu suami dan kami terus hubungi pihak bomba. Waktu bomba sampai tu api dah marak," katanya.

Tengku Kamariah yang juga pesara guru berkata, dalam kejadian itu dia turut terdengar bunyi dentuman kuat sebanyak dua kali dipercayai berpunca daripada tong gas.

"Waktu api marak tu saya tak berani nak duduk dekat lokasi kejadian sebab ada banyak bunyi letupan. Dua kali saya dengar bunyi letupan yang begitu kuat. Mungkin letupan itu berpunca daripada tong gas yang terbakar," katanya.