Jerebu: Anwar nasihat penduduk hadkan aktiviti luar

-Foto Bernama
-Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMASKINI] Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan penduduk di daerah itu supaya menghadkan aktiviti di luar premis ekoran bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan tahap sangat tidak sihat.

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga terutama kepada mereka yang bekerja.

"Kegiatan fizikal di luar terutama untuk warga emas dan kanak-kanak harus dikurangkan sehingga jerebu kembali pulih.

"Orang ramai juga disaran menggunakan topeng muka yang sesuai untuk mengurangkan kesan kepada kesihatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar berkata, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Port Dickson akan mengedarkan topeng muka N95 kepada orang ramai pada tengah hari ini.

Setakat jam 11 pagi ini, dua daerah di Negeri Sembilan mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat iaitu Port Dickson dan Nilai menyebabkan sekolah di kedua-dua daerah itu ditutup.

Menurut laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), IPU di Port Dickson merekodkan bacaan 213, Nilai (205), manakala Seremban (177).

Sehingga tempoh ini, sebanyak 109 sekolah di Port Dickson dan Nilai ditutup susulan IPU di dua daerah itu melebihi 200.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Jerebu: Pelajar di Port Dickson cuti