Tiga pemain cilik prospek Harimau Malaya

Pemain Malaysia Warrior meraikan kejayaan menjuarai saingan Piala Global 2019 semalam. -Foto UWAIS QARNI
Pemain Malaysia Warrior meraikan kejayaan menjuarai saingan Piala Global 2019 semalam. -Foto UWAIS QARNI
A
A
A

USIA mereka belum mencecah 13 tahun tetapi kelibat tiga pemain cilik negara, Abid Safaraz Rozaidi, Muhammad Azmer Masri Ahmad dan Ahmad Zamil Zaqwan Samsulkama sudah mendapat perhatian kelab handalan Jepun, Cerezo Osaka.

Bukan sesuatu yang mengejutkan apabila ketiga-tiga pemain terbabit kini mula berada dalam radar kelab Divisyen 1 Liga Jepun (J1) itu bersandarkan prestasi mereka pada Kejohanan Bola Sepak Piala Global 2019 yang berakhir di J Green Sakai, Osaka, Jepun semalam.

Mereka menjadi nadi kejayaan wakil negara, Malaysia Warrior muncul juara Piala Global 2019 iaitu kejohanan bagi peringkat umur bawah 12 tahun yang julung-julung kali diadakan.

Pada Piala Global 2019, Malaysia Warrior dan satu lagi wakil negara, Malaysia Tiger majoritinya dibarisi pelatih Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dari Akademi Tunas Kota Setar, Akademi Tunas Kuala Muda Yan dan Akademi Tunas Kubang Pasu.

Pelatih juga dari Majlis Sukan Sekolah Kedah (MSSK) selain Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT); Akademi Tunas Kuantan; Akademi Tunas Wangsa Maju; Manjung Soccer Kid dan Fireball FC.

Sambil mengakui mereka mempunyai masa depan dan peluang cerah untuk melangkah lebih jauh, pengendali Malaysia Warrior, Mohd Redzuan Mustapai berharap barisan pemain cilik negara itu dapat terus dikekalkan pada masa akan datang.

“Saya berharap NFDP dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat merangka sesuatu (program) dan latihan berterusan untuk menjaga prospek Malaysia ini. Jika kita lihat, para pemain negara dapat bersaing dengan pemain-pemain seusia mereka terutamanya dari Jepun.

“Pada masa sama, ia satu berita yang baik apabila ada kelab dari Jepun yang berminat untuk mendapatkan pemain-pemain muda negara kerana itu membuktikan mereka setanding dengan pemain-pemain dari negara Asia yang lain,” katanya kepada Sukan Sinar semalam.

Artikel Berkaitan: