Kesedaran sivik rakyat kita masih rendah

Gambar hiasan
A
A

SEMALAM kita menyambut ulang tahun Hari Malaysia yang ke-56. Ramai yang bercuti dan ada juga yang bertugas seperti biasa. Bangun pagi ingatkan masih awal, rupanya sudah jam 10. Cuaca berjerebu disangka berkabus.

Ambil telefon bimbit, baca WhatsApp yang masuk bertalu-talu. Ada mesej daripada boss, biarlah dulu. Bila sudah lapang nanti baru baca. Bimbang ada arahan kerja atau ada kesilapan yang berlaku ketika bertugas kelmarin terus hilang ‘mood’ untuk bersarapan.

Kemudian buka pula portal berita, cari berita yang menarik. Banyak berita politik. Orang Malaysia berpolitik 24 jam sehari, tujuh hari seminggu selama 365 hari. Tidak pernah berhenti. Ada pemimpin yang bertelagah isu siapa yang jaga industri halal. Ada yang kata Piagam UMNO-Pas tiada perkara luar biasa. Baguslah kalau tak luar biasa. Apa yang hendak dihairankan? Tapi ramai yang sibuk nak bagi kenyataan.

Seorang rakan pernah berkata: “Azmi, politik ni punca sakit mental. Jangan layan sangat.” Bukan tak mahu layan tetapi terpaksa layan sebab sudah jadi tugas saya untuk membaca semua berita termasuk politik.

Kemudian baca berita jenayah. Hari-hari berlaku jenayah. Seorang lelaki ditangkap selepas didapati mencuri wang tabung surau di Kampung Bukit Depu, Kuala Terengganu. Di Georgetown, seorang lelaki ditikam sehingga mati kerana menuntut hutang. Malaysia masih aman.

Saya tertarik dengan satu berita yang disiarkan oleh sebuah portal mengenai seorang lelaki bernama Azman Ghazali, 61, yang banyak belajar daripada haiwan dan mampu menukar sikap daripada pemarah dan bengis kepada lebih tenang serta berdisiplin.

Barangkali memang betul cakap Pengurus Taman Hidupan Liar Sunway Lagoon itu. Haiwan lebih berdisiplin daripada manusia. Ada yang berkata, manusia sudah hilang sivik kerana tidak belajar tata rakyat.

Tidak percaya? Buka sahaja media sosial. Ada bermacam-macam berita viral. Masyarakat sendiri yang bertindak melaporkannya. Sejak zaman internet ini, tugas wartawan sudah diambil alih. Mediumnya ialah media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya. Sebab itu jualan akhbar semakin merudum. Wartawan juga ramai yang hilang kerja.

Ada netizen yang melaporkan kes-kes berebut tempat letak kereta, buli di lebuh raya, buang lampin pakai buang di merata-rata tempat, pelajar perempuan bertumbuk, letak kereta hadapan pintu pagar rumah jiran, langgar lampu isyarat, potong barisan di plaza tol dan sebagainya. Jual diri pun ada!

Subjek sivik

Timbul persoalan, mengapa hari ini semakin ramai manusia tidak mempunyai sivik? Salah ibu bapakah atau salah guru?

Kita selalu mendengar kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebung yang bermaksud mendidik anak-anak hendaklah daripada kecil lagi. Bila sudah menjadi buluh, sudah keras untuk dilenturkan.

Ketika di sekolah rendah, saya belajar subjek Tata Rakyat. Kemudian di sekolah menengah saya belajar subjek Pendidikan Sivik. Saya difahamkan dua subjek itu dimansuhkan beberapa tahun kemudian.

Kedua-dua subjek itu memberi penekanan kepada nilai murni dan semangat patriotik bagi menyediakan murid yang dapat memainkan peranan, hak serta tanggungjawab mereka sebagai warganegara Malaysia dengan baik dan berkesan. Kita diajar perkara-perkara yang positif dan mengelakkan perkara-perkara negatif.Hari ini, kita begitu megah mengatakan bahawa negara kita telah maju dan pesat membangun seiring dengan era globalisasi namun, malangnya tanpa kita sedari kesedaran sivik dalam kalangan rakyat Malaysia begitu rendah malah semakin luntur.

Perkara yang jelas adalah wujudnya sikap, ‘aku, aku’ dan ‘engkau, engkau’ dalam diri masyarakat kita. Sehingga hari ini, kita masih menyaksikan perlakuan-perlakuan negatif yang memperlihatkan bahawa tahap kesedaran sivik masyarakat ternyata masih rendah.

Kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh dan membiarkan permasalahan ini begitu sahaja. Walaupun masalah kurangnya kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat kita belum begitu parah, namun kita perlu berusaha untuk membaikinya.

Saya teringat satu pepatah iaitu jika kita mahu hidup setahun tanamlah gandum, jika kita mahu hidup sepuluh tahun tanamlah pokok dan jika kita mahu hidup selama-lamanya tanamlah jiwa manusia.

Sekiranya kita ingin melihat kesedaran sivik masyarakat kita kukuh, marilah kita bersama-sama menanam jiwa manusia dengan kesedaran sivik tanpa menunggu hari esok.*Azmi Tarmizi ialah Pengarang Kanan Sinar Harian